X
DOKTOR dan jururawat memegang kertas menyatakan kata-kata semangat melawan virus serta gesaan duduk di rumah.
DOKTOR dan jururawat memegang kertas menyatakan kata-kata semangat melawan virus serta gesaan duduk di rumah.
Sri Ayu Kartika Amri


“SETIAP malam sepanjang dirawat di hospital, saya menangis di atas sejadah merayu kepada Allah SWT agar penyakit ini dapat mencuci dosa saya,” luah pesakit Covid-19, Ariffin Mamat, 63.

Ariffin yang juga Ketua Pengarah Institusi Koperasi Malaysia (IKM) disahkan positif Covid-19 pada 5 Mac lalu.

Beliau yang pada mulanya ragu-ragu dijangkiti wabak itu selepas bersalaman dengan empat kontak rapat yang dipercayai positif Covid-19 dalam satu majlis di ibu negara pada 27 Februari lalu.

“Walaupun tidak mempunyai sebarang gejala dijangkiti Covid-19, saya berasa tidak sedap hati kerana pernah berhubung dengan kontak positif.

“Pada awalnya, saya ke hospital untuk pemeriksaan saringan kesihatan namun bacaan suhu dan tekanan darah semuanya baik serta diarahkan pulang ke rumah.

“Saya mengambil inisiatif kuarantin diri di rumah, sehingga saya dapati beberapa kontak yang pernah saya bersalam sah positif Covid-19.

“Pada 2 Mac, saya pergi semula ke hospital dan memaksa petugas kesihatan mengambil sampel di tekak walapun saya masih tak ada simptom berat (hanya batuk),” katanya yang hanya mendapat keputusan sah positif Covid-19 tiga hari selepas itu (5 Mac).

Beliau dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh, dikuarantin dan dirawat selama 10 hari.

“Sepanjang di wad saya mengisi masa dengan menghabiskan bacaan satu juzuk al-Quran setiap hari dan berazam untuk berkongsi pengalaman di hospital sebagai motivasi kepada orang ramai,” katanya yang berkongsi pengalaman di laman Facebooknya.

Mengamalkan gaya hidup sihat, makan banyak buah dan makanan sunah seperti kurma serta habbatusauda adalah antara yang diamalkan Ariffin sepanjang dirawat di hospital.

“Paling penting kita tidak perlu takut dengan virus ini kerana saya yakin Allah SWT akan bantu saya, tetapi janganlah sampai kita mengambil mudah wabak ini.

“Saya juga terfikir andai ditakdirkan meninggal disebabkan virus ini, saya reda kerana mati itu pasti.

“Tetapi saya tidak terlalu memikirkan perkara negatif dengan menyibukkan diri berfikir keadaan di pejabat.

“Saya sentiasa memanjatkan doa supaya Allah SWT memberi kesembuhan dan Alhamdulillah selepas menjalani ujian kali ketiga dan keempat akhirnya saya negatif Covid-19,” katanya.

Beliau dibenarkan keluar hospital pada 15 Mac lalu dan sekarang sedang menjalani kuarantin di rumah selama 14 hari.

“Pengalaman ini terlalu berharga dan saya yakin setiap yang terjadi ada hikmahnya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Mac 2020 @ 7:20 AM