X
Hayati Ibrahim


KERAJAAN memutuskan untuk melanjutkan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan sehingga 14 April depan.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pemaklumanan pelanjutan tempoh ini dibuat lebih awal supaya rakyat lebih bersedia.

Katanya, beliau diberikan taklimat oleh Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara yang memaklumkan trend semasa menunjukkan kes positif Covid-19 yang baharu masih berlaku.


"Trend ini dijangka berterusan untuk beberapa ketika sebelum kes baharu mula menurun. Ini menuntut kerajaan untuk meneruskan PKP bagi satu tempoh masa yang lebih lama.

"(Jadi) anda yang berada di kampung tak perlu bergegas balik ke Kuala Lumpur hujung minggu ini. Duduklah dulu di kampung dan jangan ke mana-mana. Anak-anak yang sepatutnya balik ke asrama, tak perlu balik ke asrama lagi. Tunggu dulu.

"Pejabat yang masih ditutup tak perlu dibuka lagi. Jika ada perkara penting yang nak diurus dalam tempoh dua tiga minggu yang akan datang, rancanglah dari sekarang bagaimana nak menguruskannya," katanya pada Perutusan Khas Perdana Menteri di Bangunan Putra Perdana, Putrajaya, hari ini.


Muhyiddin berkata, tempoh kuat kuasa perintah ini akan dikaji dari semasa ke semasa.

Katanya, ia akan dilanjutkan lagi jika ada keperluan dan beliau akan buat pengumuman mengenainya.

"Yang penting saya mohon supaya saudara-saudari sentiasa bersedia untuk duduk lebih lama di rumah. Saya juga sudah mengarahkan semua kementerian untuk membuat persiapan yang rapi bagi mengurus keperluan asas anda sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan berkuatkuasa. Yang penting semua keperluan asas mestilah sentisa tersedia dan mencukupi.

"Ini termasuk bekalan makanan, elektrik dan air, perkhidmatan kutipan sampah dan pembentungan, kemudahan komunikasi dan logistik serta keselamatan dan ketenteraman awam," katanya.

JALAN Loke Yew yang menjadi jalan utama masuk ke pusat bandaraya Kuala Lumpur kelihatan lengang, semalam susulan Perintah Kawalan Pergerakan. FOTO Aizuddin Saad
JALAN Loke Yew yang menjadi jalan utama masuk ke pusat bandaraya Kuala Lumpur kelihatan lengang, semalam susulan Perintah Kawalan Pergerakan. FOTO Aizuddin Saad

  • Doa Perdana Menteri
  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Mac 2020 @ 1:25 PM
    Digital NSTP Subscribe