ARRANT (tengah) ketika dihadapkan di Mahkamah Daerah Christchurch pada 16 Mac 2019. FOTO AFP
ARRANT (tengah) ketika dihadapkan di Mahkamah Daerah Christchurch pada 16 Mac 2019. FOTO AFP
AFP

WELLINGTON: Lelaki Australia menukar pengakuan kepada bersalah atas tuduhan membunuh 51 penganut Islam dalam kejadian tembakan di dua masjid di New Zealand, tahun lalu.

Brenton Tarrant, 29, sebelum ini tidak mengaku bersalah atas 51 pertuduhan membunuh, 40 cubaan bunuh dan satu lagi pertuduhan melakukan aktiviti keganasan.

“Ya, bersalah,” Tarrant memberitahu Mahkamah Tinggi Christchurch menerusi sidang video dari Penjara Auckland selepas semua pertuduhan terhadapnya dibacakan.

Tarrant, memakai baju kelabu, dilihat secara sengaja memandang ke arah kamera ketika membuat pengakuan itu.

Tiada sebab diberikan, tetapi ini bermakna Tarrant tidak akan lagi dibicarakan.

Dalam pada itu, Perdana Menteri Jacinda Ardern berkata pengakuan bersalah itu membuatkan banyak pihak lega termasuk mereka yang hidupnya terjejas akibat serangan berkenaan.

“Pengakuan bersalah itu memberi keadilan kepada keluarga yang kehilangan orang tersayang, atau ada ahli keluarganya cedera, selain saksi dan perbicaraan kes itu sendiri,” katanya.

Hakim Cameron Mander kemudian memutuskan hukuman terhadap Tarrant akan diputuskan dalam satu prosiding yang akan ditetapkan kelak.

Sementara itu, keputusan itu disambut baik oleh masyarakat Muslim New Zealand.

Dalam kejadian 15 Mac tahun lalu, Tarrant yang bersenjatakan senjata api semi-automatik melepaskan tembakan di Masjid Al Noor, sebelum melakukan perkara sama di Masjid Linwood.

Pembunuhan kejam itu disiarkannya secara langsung menerusi media sosial.

Semua mangsa adalah orang Islam termasuk, kanak-kanak, wanita dan orang tua.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Mac 2020 @ 9:07 AM
Digital NSTP Subscribe