Raja Noraina Raja Rahim


BAYI berusia 12 hari adalah pesakit jangkitan koronavirus baharu (Covid-19) termuda di Malaysia, manakala pesakit tertua membabitkan warga emas berusia 83 tahun.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, golongan yang mempunyai imunisasi rendah menjadi keutamaan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam memberikan rawatan.

Menurutnya, tiga faktor berisiko tinggi dijangkiti Covid-19 iaitu individu berusia 70 tahun ke atas, mempunyai penyakit lain dan mendapatkan rawatan lewat iaitu di peringkat memerlukan bantuan pernafasan.

“Strategi kita adalah untuk melindungi mereka yang mempunyai imuniti rendah seperti pesakit berusia dan mempunyai penyakit lain.

“Golongan ini harus dilindungi dan memastikan mereka duduk di rumah,” katanya dalam sidang media harian terkini Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

Mengulas lanjut, Noor Hisham berkata, berdasarkan rekod KKM mendapati pesakit Covid-19 mempunyai peluang untuk pulih sekiranya mereka mendapatkan rawatan sepenuhnya.

Beliau berkata, Malaysia mencatatkan kadar kematian 1.1 peratus dengan lebih 98 peratus pesakit berjaya pulih sepenuhnya selepas menerima rawatan meskipun memerlukan bantuan pernafasan di Unit Rawatan Rapi (ICU).

“Inilah kita kena pastikan perawatan dan penjagaan di ICU dapat dikekalkan dan dimantapkan dan pesakit ada peluang untuk pulih jika diberi rawatan awal. Kita memakan masa untuk memastikan mereka pulih dan dapat kembali kepada masyarakat.

“Apa yang penting sebelum discaj, mereka dipastikan negatif untuk tempoh 24 jam. Ini memakan masa 10 hari sehingga dua minggu.

“Kita akan tetap memberikan penjagaan sehingga mereka mendapat ujian negatif sebanyak dua kali,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Mac 2020 @ 6:42 PM
    GAMBAR hiasan
    GAMBAR hiasan
    Kabinet Malaysia 2020