COVID-19 beri cabaran kepada pengamal perubatan di seluruh negara.
COVID-19 beri cabaran kepada pengamal perubatan di seluruh negara.
Amir Abd Hamid


“MUSIM virus Covid-19 saya elak untuk peluk atau cium anak-anak saya.

“Berdebar jumpa pesakit di hospital dan berdebar jumpa keluarga sendiri di rumah. Anak persoalkan ‘Why mummy taknak hug macam biasa?’. Saya terpaksa terangkan walaupun sedih,” kata seorang doktor yang bertugas di Unit Kecemasan dan Trauma sebuah hospital di utara tanah air.

Wanita berusia pertengahan 40-an itu berkata, bagi semua pengamal perubatan perkara paling ditakuti adalah dijangkiti dan menyebarkan virus pandemik itu kepada keluarga dan anak-anak.

Menurutnya, dia juga terpaksa menangguhkan kebiasaan memeluk ibunya setiap kali pergi dan pulang kerja.

“Dahulu sebelum pergi kerja dan balik kerja saya peluk cium ibu. Namun sekarang saya terpaksa elakkan lakukan begitu sebab sayangnya saya kepada ibu.

“Saya katakan ‘Emak tak boleh nak peluk buat masa ini’. Saya takutkan risiko. Mungkin tiada mungkin ada virus.

“Semua pengamal perubatan paling takut apabila dijangkiti dan sebarkan virus kepada keluarga dan anak-anak. Itu paling menakutkan…nightmare,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menurutnya, lebih membimbangkan ialah usia ibunya sekitar 70-an dan menghidapi kencing manis serta darah tinggi menyebabkan sistem imuniti badan lebih lemah berbanding orang tidak berpenyakit.

Bagi memastikan dia bersih, katanya, dia membawa dalam beg tiga pasang persalinan pakaian dari rumah ke hospital.

“Sebelum balik selepas selesai bertugas di hospital, saya mandi bersabun basuh rambut semua seluruh anggota badan bersihkan diri dan tukar baju di hospital.

“Baju yang dipakai di hospital itu biasanya akan ditinggalkan untuk dicuci dan disteril di hospital.

“Saya tak bawa balik baju sudah dipakai di hospital. Sesudah tukar baju baru saya balik ke rumah,” katanya.

INFOGRAFIK
INFOGRAFIK

Disebabkan begitu risaukan keselamatan keluarganya, dia menjelaskan sebelum sampai di rumah dia sudah berpesan kepada ibu atau anaknya untuk buka pintu rumah dan segera ke bilik air untuk mandi sekali lagi.

Menurutnya, baju yang baru dipakai di hospital itu pula akan segera dibasuh tanpa dicampurkan dengan pakaian lain.

“Kita tak tahu persekitaran hospital kemungkinan virus. Balik hospital saya memang dah pesan dengan ibu atau anak tolong bukakan pintu rumah dan jangan dekati saya.

“Sehingga begitu sekali kena lakukan sebab tak mahu menjadi pembawa virus kepada keluarga.

“Virus Covid-19 ini sangat senang menjangkiti orang lain, tetapi menyedihkan sesetengah orang tidak ambil peduli perkara ini,” katanya.

Beliau yang berpengalaman bertugas di Hospital Umum Sarawak semasa pandemik Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) dan sewaktu Sindrom Pernafasan Virus Korona Asia Barat (MERS-CoV) menjelaskan apa dibimbangi ialah virus Covid-19 boleh bertahan beberapa hari di permukaan berbanding virus lain kebanyakannya hayat beberapa jam sekiranya tidak berjumpa sel hidup.

Mengulas mengenai waktu kerja panjang seharian, katanya, pengamal perubatan menganggap ia perkara biasa.

“Pertambahan jumlah waktu bekerja, ketahanan doktor, jururawat dan rakan-rakan sektor kesihatan berkaitan bukanlah sesuatu yang baru bagi kami.

“Cuma dalam 12 jam kita kena bersama pesakit ada risiko virus dengan berpakaian kelengkapan keselamatan peralatan perlindungan diri (PPE) hingga beberapa hari berturut-turut memang rasa penat.

“Itu yang apabila balik rumah kita rasa tertekan…orang lain jaga anak-anak, ini selepas balik pun malah dah mandi masih tak berani nak dekat dengan anak-anak sebab risau bawa balik virus,” katanya yang memiliki tiga cahaya mata.

Katanya, mengenai PPE jika dipakai dalam tempoh dua jam sudah cukup menyebabkan seluruh anggota tubuh dibasahi peluh.

Ini kerana, menurutnya PPE tidak mempunyai ruang pengudaraan bagi memastikan virus Covid-19 tidak tembus menyentuh anggota badan.

“Penutup mulut dan hidung kena pakai dua lapisan untuk elak virus memasuki saraf pernafasan dan mulut.

“Kena pakai penutup bagi melindungi mata, penutup muka, rambut kena tutup dengan beberapa lapisan pelindung, baju khas sekurang-kurangnya tiga lapisan dan kaki kena tutup sepenuhnya tanpa sedikit pun terdedah keseluruhan dari hujung kaki ke hujung kepala,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Mac 2020 @ 7:30 AM
    Digital NSTP Subscribe