KERAJAAN bersetuju memberi bantuan sebanyak RM1,600 secara ‘one-off’ kepada empat juta isi rumah berpendapatan bulanan RM4,000 ke bawah.

Selain itu, kerajaan turut bersetuju memberi bantuan RM1,000 secara ‘one-off’ kepada 1.1 juta isi rumah berpendapatan antara RM4,000 hingga RM8,000 sebulan.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Bantuan Prihatin Nasional, iaitu pemberian tunai secara one-off itu membabitkan peruntukan hampir RM10 bilion, dan buat pertama kalinya akan disalurkan juga kepada kumpulan M40.

“Mereka ini termasuk pekerja swasta, peneroka Felda, petani, nelayan, peniaga kecil dan semua yang tergolong dalam kumpulan M40 dan ke bawah,” katanya ketika mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) berjumlah RM250 bilion, tadi.

Beliau berkata, bagi isi rumah yang berpendapatan bulanan RM4,000 dan ke bawah bayaran RM1,000 akan dibayar pada April dan RM600 pada Mei.

Menurutnya, isi rumah berpendapatan antara RM4,000 hingga RM8,000 sebulan, pembayaran sebanyak RM500 akan dibuat pada April dan baki RM500 bulan Mei.

“Sebanyak RM800 akan diberikan kepada tiga juta individu bujang berusia 21 tahun ke atas dan berpendapatan bulanan RM2,000 dan ke bawah. Bayaran RM500 akan dibayar pada April dan baki RM300 pada Mei.

“Sebanyak RM500 diberikan kepada 400,000 individu bujang berusia 21 tahun ke atas yang berpendapatan bulanan lebih RM2,000 hingga RM4,000. Bayaran sebanyak RM250 akan dibuat pada April 2020 dan baki RM250 pada Mei,” katanya.

Beliau berkata, pelajar institusi pengajian tinggi akan menerima bantuan secara one-off sebanyak RM200 seorang yang akan dibayar pada Mei.

“Bantuan ini membabitkan peruntukan sebanyak RM270 juta kepada pelajar di pelbagai peringkat pengajian tinggi termasuk matrikulasi, Kolej Komuniti, Politeknik, IPTA dan IPTS.

“Begitu juga dengan golongan mudah terjejas seperti warga emas dan kanak-kanak di rumah perlindungan, orang kelainan upaya atau OKU, golongan gelandangan dan orang asal.

“Kerajaan akan bekerjasama dengan NGO dan usahawan sosial yang berkaitan untuk menyalurkan bantuan makanan, barangan penjagaan kesihatan dan tempat perlindungan untuk mereka dengan peruntukan sebanyak RM25 juta,” katanya.

Menurutnya, sebelum ini, Kerajaan bersetuju untuk menangguhkan bayaran balik PTPTN kepada semua peminjam selama enam bulan membabitkan kutipan sebanyak RM750 juta.

“Kini, Kerajaan bersetuju memberikan penangguhan bayaran balik pinjaman untuk tempoh yang sama kepada peminjam Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran atau PTPK mulai 1 April 2020 hingga 30 September 2020, dengan anggaran kutipan sebanyak RM149.2 juta. Inisiatif ini akan memanfaatkan seramai 174,500 orang peminjam,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Mac 2020 @ 3:50 PM