Amir Abd Hamid


KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) mempunyai sebanyak 3,400 katil di 26 hospital dikhususkan Covid-19.

Manakala 1,892 katil ada di Institut Latihan KKM menjadikan keseluruhannya adalah 5,292 katil.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, terbaru sebanyak 600 katil disediakan di pusat kuarantin dan rawatan Covid-19 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (Maeps).

“Katil yang disediakan memadai. Tetapi bak kata orang kita bersedia untuk situasi lebih buruk.

“Kalau perlu kita ada 600 katil di Maeps iaitu 400 di Hall A dan 200 di Hall B.

“Jika kita kurang bersedia maknanya tidak bersedia. Ia boleh dijadikan model contoh penggunaan dewan atau stadium tertutup jika diperlukan kelak,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media harian Covid-19 di Putrajaya hari ini.

Menurutnya, jika melebihi 1,000 kes sehari pastinya memerlukan katil dan kapasiti sekarang adalah 5,292 katil.

“Jadi apa kita lakukan sekarang adalah bersedia untuk keadaan lebih buruk.

“Esok petang (susunan katil di Maeps) boleh siap.

“Kita jangkakan pertengahan April akan ada peningkatan mendadak kes Covid-19,” katanya.

KETUA Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah ketika sidang media berhubung situasi semasa jangkitan Covid-19 di Putrajaya. FOTO MOHD FADLI HAMZAH
KETUA Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah ketika sidang media berhubung situasi semasa jangkitan Covid-19 di Putrajaya. FOTO MOHD FADLI HAMZAH

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Mac 2020 @ 7:01 PM