USTAZ Ebit Liew (kanan) menghulurkan bantuan kepada pelbagai golongan terutama petugas barisan hadapan menghadapi Covid-19. FOTO ihsan Ustaz Ebit Liew
USTAZ Ebit Liew (kanan) menghulurkan bantuan kepada pelbagai golongan terutama petugas barisan hadapan menghadapi Covid-19. FOTO ihsan Ustaz Ebit Liew
Ekhwan Haque Fazlul Haque


“COVID-19 buat kita terpisah secara jasad, namun ketika saat getir ini kita perlu bersatu hati membantu mereka yang memerlukan,” pesan penceramah terkenal, Ustaz Ebit Lew.

Sejak awal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diumumkan kerajaan, Ebit memulakan misi menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan khususnya petugas barisan hadapan dan orang susah.

Pelbagai pesanan diperoleh meminta dia datang untuk menghulurkan barangan dan kelengkapan diperlukan di pelbagai klinik dan hospital di sekitar Lembah Klang.

“Saya terima pelbagai mesej minta dibantu kerana mereka memerlukan kelengkapan seperti penghawa dingin, kipas, penutup dan perisai muka dalam kadar segera.

“Menerusi bantuan segera dihulurkan ini, saya harap dapat membantu banyak pihak melancarkan operasi harian mereka khususnya untuk merawat pesakit Covid-19,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, selain itu banyak keluarga di Lembah Klang sudah dibantu kerana ada di antara mereka terputus bekalan makanan kerana tidak mempunyai wang.

Menurutnya, ada keluarga dibantu sudah tidak dapat bekerja kerana PKP menyebabkan sumber kewangan mereka terjejas teruk, sekali gus tidak mampu membeli makanan.

“Saya sudah mendapatkan bekalan makanan kering daripada pengedar untuk diagihkan kepada mereka yang memerlukan secepat mungkin.

“Niat saya untuk membantu mereka yang ditimpa ujian dan berharap sumbangan ini digunakan sebaik mungkin sementara menunggu bantuan kerajaan,” katanya.

Menceritakan pengalaman bertemu secara terus dengan petugas barisan hadapan, Ebit terharu dengan mereka yang sanggup meninggalkan keluarga demi memastikan orang lain sihat daripada pandemik ini.

Katanya, ramai mengadu keletihan namun tetap bersemangat untuk berjuang kerana mahu membantu insan lain.

“Allah tidak akan sia-siakan mereka yang berpisah dengan keluarga kerana mahu merawat orang lain. Allah janjikan syurga untuk mereka.

“Walaupun kita terpisah secara jasad, tidak dapat memeluk anak, isteri, suami dan ahli keluarga, namun Allah satukan hati kita untuk sama-sama melawan wabak ini,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Mac 2020 @ 11:51 AM