POLIS memukul orang awam yang degil selepas ingkar perintah berkurung. FOTO AGENSI
POLIS memukul orang awam yang degil selepas ingkar perintah berkurung. FOTO AGENSI
Agensi

New Delhi: Nampak macam lucu, tetapi pihak berkuasa di Maharashtra, India mempunyai cara tersendiri untuk mendidik orang awam yang ingkar perintah berkurung di negara itu.

Gulf News melaporkan sepasukan polis yang meronda di jalan menemui orang awam masih tidak mematuhi perintah berkenaan yang bertujuan mengekang penularan Covid-19.

Tidak seperti kebiasaan, polis berkenaan mengarahkan orang awam yang ingkar terbabit berdiri dalam separuh bulatan.

Rakaman video yang meraih lebih 243,000 tontonan itu menunjukkan orang awam berkenaan diarahkan memegang telinga dan melakukan ketuk ketampi.

Pengguna Twitter memuji cara pasukan Polis Maharashtra dalam mendidik masyarakat secara berhemah.

POLIS mendenda orang awam membongkok dengan kepala mereka diantara dua kaki. FOTO Agensi
POLIS mendenda orang awam membongkok dengan kepala mereka diantara dua kaki. FOTO Agensi

Sementara itu, lain pula dilaporkan di New Delhi, Mumbai dan Kerala apabila polis di sana lebih agresif.

Beberapa video tular yang dimuat naik The Straits Times memaparkan pegawai polis menunggang motosikal sambil memukul orang awam dengan cota dan kayu.

Sebahagian daripada polis berhenti menunggang dan memukul orang awam yang masih duduk di atas motosikal serta skuter masing-masing.

Namun, tindakan terbabit mengundang kurang senang segelintir pihak apabila mereka mempersoalkan bahawa tindakan itu memaparkan keganasan polis.

Di tempat lain, ada juga pegawai polis mengamalkan langkah hukuman kurang melampau termasuk menghukum orang awam melakukan tekan tubi mahupun membongkok sambil kepala mereka berada antara dua kaki.

India melaksanakan perintah berkurung selama 21 hari sejak 25 Mac lalu dengan Perdana Menteri Narendra Modi mengarahkan kawalan pergerakan antara jam 7 pagi hingga 9 malam.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Mac 2020 @ 6:50 AM