X
CABARAN doktor barisan hadapan.
CABARAN doktor barisan hadapan.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin

PETUGAS barisan hadapan, termasuk perubatan, berdepan pelbagai cabaran getir merawat pesakit Covid-19 namun masih mampu memberikan perkhidmatan terbaik kepada pesakit.

Keberanian luar biasa berhadapan virus Covid-19 begitu menyentuh hati rakyat Malaysia, malah ramai yang mengangkat mereka sebagai wira.

Ikuti wawancara Pakar Perubatan Kecemasan Jabatan Kecemasan Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) Dr Azlan Helmy Abd Samat dan wartawan Nor ‘Asyikin Mat Hayin bagi berkongsi pengalamannya menjadi petugas barisan hadapan Covid-19

DR Azlan
DR Azlan

  • Perasaan diberikan tanggungjawab sebagai petugas barisan hadapan Covid-19?

    Sebagai pakar perubatan kecemasan, saya sentiasa bersedia untuk menggalas tanggungjawab berat termasuk sebagai petugas barisan hadapan Covid-19.

    Pada mulanya, saya agak gementar apabila mengetahui Hospital Canselor Tuanku Mukhriz (HCTM) dijadikan hospital Covid-19.

    Minggu pertama HCTM sebagai hospital Covid-19, ia boleh dikatakan adalah tempoh penyesuaian kerana persediaan mental, fizikal, infrastruktur dan kekuatan kakitangan perlu digembleng serta-merta.

    Semua kakitangan bekerja dalam satu pasukan yang efektif dan sentiasa bersedia serta peka dengan situasi semasa.

    Keterbukaan pihak berkuasa negara berkongsi maklumat mengenai Covid-19, termasuk cara jangkitannya, sangat membantu petugas barisan hadapan HCTM mengendalikan pesakit dengan baik.

    Faktor ini membuatkan saya dan pasukan lebih bersedia mengendali dan merawat pesakit, meskipun perlu melalui perubahan cara bekerja secara keseluruhannya.

  • Reaksi keluarga apabila mengetahui Dr antara petugas barisan hadapan Covid-19?

    Isteri, anak dan keluarga di kampung risaukan keselamatan saya kerana saya berisiko dijangkiti.

    Bagaimanapun, saya jelaskan kepada keluarga semua risiko yang perlu mereka ketahui.

    Saya juga sentiasa berkomunikasi dengan keluarga selain mempertingkatkan amalan penjagaan kebersihan seperti mandi dan mencuci tangan apabila pulang ke rumah bagi mengurangkan risiko jangkitan.

    Keluarga juga memahami walaupun pada fasa pertama Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), saya perlu bekerja tujuh hari seminggu selain pulang lewat malam.

  • Pengalaman hari pertama sebagai petugas barisan hadapan Covid-19 dan memakai pakaian perlindungan diri (PPE)?

    Perasaan saya bercampur baur iaitu teruja dan gementar.

    Apatah lagi perlu memakai PPE, ia membuatkan saya berasa seolah-olah pergi ‘berperang’ dengan objek yang tidak kelihatan pada mata kasar.

    Saya juga sedar kemungkinan risiko dijangkiti virus ini memandangkan perlu berhadapan dengan pesakit terbabit.

    Jabatan Perubatan Kecemasan HCTM dibahagikan kepada tiga zon iaitu zon pesakit dalam pemantauan (PUI) iaitu pesakit disyaki Covid-19, zon A dan zon B.

    Zon A untuk pesakit yang masih memerlukan penilaian lanjut Covid-19. Mereka menghidap pelbagai penyakit terutamanya radang paru-paru atau jangkitan paru-paru akut teruk.

    Zon B pula adalah kes kecemasan biasa seperti patah, trauma, jantung, sawan dan lain-lain.

    Petugas yang memasuki zon pesakit PUI dan zon A ini perlu memakai PPE untuk perlindungan bagi mengurangkan risiko dijangkiti Covid-19.

    Manakala, di zon B, memadai dengan mengenakan penutup hidung dan mulut serta apron.

    Bekerja pada dua minggu pertama begitu mencabar kerana 30 kakitangan dikuarantin disebabkan terdedah dengan pesakit Covid-19.

    Ketika itu, kami kekurangan tenaga kerja di jabatan perubatan kecemasan membabitkan doktor, jururawat dan kakitangan perubatan yang banyak membantu merawat pesakit sebelum ini.

    Masalah ini berjaya diatasi pengurusan HCTM. Kami bekerja sebagai satu pasukan dan kakitangan klinikal daripada jabatan lain seperti ortopedik, pembedahan, telinga, hidung dan tekak (ENT), perubatan keluarga serta oftalmologi ditempatkan bersama untuk memikul tugasan merawat pesakit.

  • Tempoh bertugas paling lama sebagai petugas barisan hadapan Covid-19?

    Terdapat tiga syif bekerja di jabatan kecemasan HCTM iaitu jam 7 pagi hingga 2 petang (syif pertama), 2 petang hingga 9 malam (syif kedua) dan 9 malam hingga 7 pagi (syif ketiga).

    Petugas yang berada di ruang pesakit dijangkiti Covid-19 dan zon pesakit disyaki dijangkiti perlu memakai PPE selama lapan jam.

    Adakalanya, seorang petugas akan bekerja dua syif berturut-turut apabila keadaan mendesak.

  • Pengalaman sukar dilupakan?

    Pengalaman paling sukar dilupakan ialah ketika berhadapan kes kecemasan yang mana pesakit dihantar ke hospital dalam keadaan tidak sedar diri dan memerlukan bantuan pernafasan kecemasan (CPR).

    Pada masa sama, kita tidak pasti pesakit ini tidak sedar diri disebabkan serangan jantung atau jangkitan Covid-19.

    Ini menyukarkan petugas untuk memberikan rawatan sesuai selain risiko kepada petugas sendiri.

    Sekiranya pesakit itu dijangkiti Covid-19, tetapi diberikan rawatan sebagai pesakit biasa seperti prosedur penjana aerosol (tekan dada dalam keadaan tidak sedar diri) atau bantuan pernafasan (intubation), ia akan menghasilkan titisan aerosal daripada mulut pesakit yang boleh menjangkiti petugas.

    Dalam kes yang rumit seperti ini, kami menganggapnya sebagai berkemungkinan besar pesakit Covid-19.

    Pengalaman seterusnya membabitkan pesakit yang mengalami gejala demam dan kekeliruan yang mana pesakit ini pada awalnya dirawat akibat jangkitan selaput otak.

    Namun, rawatan lanjut mendapati pesakit ini positif Covid-19 namun dia tidak mengetahui mempunyai kontak rapat dengan mana-mana pesakit Covid-19.

    Akibatnya, contact tracing yang dilakukan mengakibatkan kami kehilangan ramai tenaga kerja selama 14 hari kerana dikuarantin.

    Ini adalah sebahagian cabaran untuk mendiagnosa penyakit Covid-19 kerana adakalanya, gejala itu tidak tipikal.

    Pengalaman ketiga begitu menyentuh hati apabila ahli keluarga tidak dapat melihat buat kali terakhir pesakit Covid-19 yang meninggal dunia di jabatan perubatan kecemasan.

    Ini kerana waris tidak dibenarkan berada di zon resusitasi disebabkan faktor keselamatan untuk mengelakkan waris dijangkiti disebabkan risiko aerosol semasa CPR.

  • Pendapat mengenai pandemik Covid-19?

    Pandemik ini adalah peringatan buat kita semua kerana semua manusia tidak kira bangsa dan agama, terkesan dengan penyakit ini.

    Malah, ia membuat kita semua sedar betapa kerdilnya manusia di sisi Tuhan.

    Ia juga mengingatkan kita bahawa manusia hidup saling memerlukan antara satu sama lain.

    Sehingga kini, penawar dan antiviral masih dalam kajian dan vaksin sedang dibangunkan untuk merawat Covid-19.

    Sebagai doktor, saya berpendapat ini juga satu titik tolak perubahan dalam bidang perubatan yang akan membawa kepada pelbagai kajian untuk kemaslahatan manusia di seluruh dunia.

    Manakala, sebagai manusia pula, perlu muhasabah diri dan menilai semula hubungan dengan Allah SWT.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 April 2020 @ 7:59 AM