Muhaamad Hafis Nawawi


PERDANA Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan penambahan peruntukan sebanyak RM10 bilion dalam Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) (Tambahan), hari ini.

Daripada jumlah itu, menurutnya, peruntukan program subsidi upah ditambah sebanyak RM7.9 bilion iaitu daripada RM5.9 bilion yang diperuntukkan sebelum ini kepada RM13.8 bilion.

“Di bawah inisiatif tambahan ini, semua syarikat dengan pekerja tempatan bergaji RM4,000 dan ke bawah akan menerima bantuan subsidi upah. Bagi syarikat yang mempunyai pekerja lebih daripada 200 orang, subsidi upah sebanyak RM600 bagi setiap pekerja dikekalkan. Namun, bilangan maksimum pekerja yang layak untuk menerima subsidi ditingkatkan daripada 100 kepada 200 pekerja.

“Bagi syarikat yang mempunyai bilangan pekerja 76 hingga hingga 200 orang, syarikat akan menerima subsidi upah sebanyak RM800 bagi setiap pekerja. Akhir sekali, bagi syarikat yang mempunyai bilangan pekerja sehingga 75 orang, syarikat akan menerima subsidi upah sebanyak RM1,200 bagi setiap pekerja. Melalui penambahbaikan ini, syarikat-syarikat akan menerima lebih banyak manfaat dan bantuan.

“Bantuan ini adalah untuk selama 3 bulan dan dikhususkan kepada majikan yang berdaftar dengan SSM (Suruhanjaya Syarikat Malaysia) atau pihak berkuasa tempatan sebelum 1 Januari dan mendaftar dengan Perkeso. Kira-kira 4.8 juta pekerja dijangka akan mendapat manfaat daripada inisiatif ini,” katanya dalam Perutusan Khas Pakej Prihatin PKS di Putrajaya, hari ini.

Muhyiddin berkata, bagi majikan yang memilih untuk menerima bantuan ini, mereka disyaratkan mengekalkan pekerja sekurang-kurangnya untuk tempoh enam bulan, iaitu dalam tempoh tiga bulan semasa menerima subsidi upah dan tiga bulan selepas itu.

Dalam perkembangan sama, Muhyiddin berkata, Kerajaan mewujudkan Geran Khas Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) berjumlah RM2.1 bilion bagi semua syarikat PKS mikro yang berkelayakan.

“Kerajaan akan menyediakan Geran Khas sebanyak RM3,000 untuk setiap syarikat mikro yang akan memanfaatkan hampir 700,000 PKS mikro di seluruh negara.

“PKS mikro perlulah berdaftar dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk menikmati kemudahan ini. Kerajaan akan memperolehi senarai PKS mikro yang layak daripada Pihak Berkuasa Tempatan dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM),” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 April 2020 @ 4:18 PM