Amir Abd Hamid dan Raja Noraina Raja Rahim


TIADA dalil kukuh bahawa vaksin BCG boleh mengelak jangkitan Covid-19 dan kajian mengenainya sedang dilakukan, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata, penyelidikan keberkesanan vaksin itu terhadap wabak berkenaan perlu dilakukan terlebih dahulu dan ia mengambil masa antara enam hingga sembilan bulan.

"Setakat ini tiada dalil kukuh bahawa vaksin BCG boleh mengelak jangkitan tetapi kajian sedang dilaksanakan bersama Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan negara-negara lain untuk melihat keberkesanannya.

"Kita berharap tempoh setahun sehingga setahun setengah boleh dapat vaksin di pasaran," katanya pada sidang media harian Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

Gambar hiasan
Gambar hiasan

Menurutnya, Malaysia dikenal pasti sebagai negara untuk penyelidikan dan penggunaan ubat-ubatan merawat Covid-19 kepada pesakit.

"Banyak ubat kita tengah lihat sebagai satu kajian untuk digunakan kepada pesakit dan sekarang ini kita menggunakan ubat anti malaria dan HIV.

"Apa yang penting perlu ada penyelidikan untuk melihat kesan sampingan dan keberkesanan ubat tertentu," katanya.

Katanya, kajian bersepadu yang sedang dijalankan itu diharap membuahkan hasil dan hasil penyelidikan serta data diperolehi itu dapat diguna pakai pada masa depan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 April 2020 @ 6:24 PM