ANIDAH dirawat di Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom, Kluang. FOTO Ihsan Pembaca
ANIDAH dirawat di Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom, Kluang. FOTO Ihsan Pembaca
Adnan Ibrahim


“SEBAIK dimaklumkan positif koronavirus baharu (Covid-19), saya menangis dan hanya mengingati kematian yang menunggu,” kata penduduk Bandar Baru Ibrahim Majid (BBIM), Simpang Renggam, Anidah Basri, 51.

Menurut Anidah, pelbagai perkara bermain dalam fikirannya, malah laporan berita kematian akibat wabak itu menyebabkan dia hampir hilang semangat.

“Untuk menenangkan diri, bacaan surah Yassin menjadi peneman setiap kali selepas solat.

“Malah, rakan sekampung pun turut sama berbuat demikian sehingga menyebabkan ada dalam kalangan kami sebak, malah menangis.

“Pada masa sama, kami semakin bersemangat dan sentiasa berpesan sesama sendiri untuk yakin dengan kekuasaan Allah SWT,” katanya dihubungi hari ini.

Anidah yang kini dirawat di Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) Kluang bersama ibu dan bapanya turut mengharapkan doa daripada orang ramai agar semua pesakit Covid-19 segera sembuh.

Pada masa sama, Anidah bersyukur kerana suami dan anak mereka tidak terkesan dengan wabak itu.

“Semuanya bermula selepas saya menghantar ibu dan ayah untuk saringan di Klinik Kesihatan Simpang Renggam sebelum saya turut disahkan positif Covid-19 dan dimasukkan ke hospital ini untuk mendapatkan rawatan pada 30 Mac lalu.

“Alhamdulillah, selepas 10 hari dirawat, kami semua beransur pulih kecuali ayah yang masih berada di unit rawatan rapi (ICU),” katanya.

Anidah turut berterima kasih kepada jururawat dan doktor yang tidak putus-putus memberikan kata semangat selain rawatan terbaik kepada semua pesakit Covid-19 termasuk dirinya.

“Kami nampak keletihan pada wajah petugas kesihatan ini, namun mereka cukup bersemangat untuk terus merawat serta memberi kata-kata semangat kepada kami.

“Mereka juga turut bersyukur dan bergembira apabila semakin ramai pesakit pulih dan dibenarkan keluar daripada hospital.

“Hanya Allah SWT saja yang mampu membalas jasa baik semua petugas kesihatan ini,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 April 2020 @ 3:05 PM