KESESAKAN lalu lintas di Jalan Skudai, Johor Bahru, semalam berikutan kebanjiran kenderaan di laluan utama. FOTO MOHD AZREN JAMALUDIN
KESESAKAN lalu lintas di Jalan Skudai, Johor Bahru, semalam berikutan kebanjiran kenderaan di laluan utama. FOTO MOHD AZREN JAMALUDIN
Nurul Amanina Suhaini


SEORANG doktor mendakwa bengang susulan tindakan masyarakat di Johor Bahru dikatakan tidak mengendahkan arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), selain beberapa agensi kerajaan didakwa tidak menjalankan tugas sebetulnya bagi mengelakkan orang berhimpun.

Kenyataan itu diungkapkan menerusi video secara langsung berdurasi 12.26 minit di laman sosial Facebook (FB) Hairin Anisa Tajuddin pada 5.02 petang 14 April lalu.

Dia turut memaklumkan beberapa lokasi zon merah yang tidak diawasi dan kekecewaannya terhadap wabak Covid-19 yang dipandang remeh masyarakat.

“Doktor marah sebab dapat banyak aduan daripada pesakit hingga doktor jadi takut sebab Johor Bahru dah masuk zon merah, maknanya kita dalam keadaan berisiko tinggi untuk dapat pembawa tidak dikenal pasti lagi.

“Saya kecewa pesakit bawa anaknya pergi pasar raya di area Taman Bukit Mutiara, dia kata di situ macam tiada PKP, macam tiada orang jaga, kedai semua buka suka hati takada buat penjarakan sosial, orang selambanya berkumpul di situ.

“Banyak juga kes di Taman Daya, pasar di Larkin, tiada polis jaga, itu yang doktor jadi bengang sangat sebab masyarakat di Johor Bahru memang sengaja cari nahas.

“Memang sengaja nak suruh virus tu kejar korang. Doktor bengang sangat sebab masyarakat Malaysia punya mentaliti ini yang di Johor zon merah, ini degil sangat.

“Kita tahu virus ini boleh ada di permukaan beberapa hari. Kalau korang pergi bersondol sana berpegang pastu transmit dah jadi rantaian yang panjang. Dan sampai bila kita nak selesaikan ini? Bila rantaian ini akan berpanjangan? Kita tidak akan dapat kurangkan risiko penyebaran ini. Faham tak?

“Ekonomi itu bukan saya seorang sahaja yang rasa, semua orang rasa termasuk kerajaan sekali terpaksa tanggung manusia yang degil juga. Mereka tidak kerja, kumpul sana sini selepas itu minta insentif minta bantuan. Tapi kau degil. Bengang la ni. Kau minta bantuan itu ini pada kerajaan tapi bodoh pergi duduk lagi sana sini,” katanya.

Kenyataan itu turut mendakwa ada usaha pihaknya untuk melaporkan kepada pihak berwajib, namun tidak mendapat maklum balas sepatutnya.

“Yang doktor geram telefon Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk buat laporan, dia kata tak, kena Polis Diraja Malaysia (PDRM). Dia kata telefon Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) masing-masing. Mereka lebih berkuasa. Ok fine. Saya telefon IPD. IPD kata oh kita dah halau mereka tadi. Kalau mereka nak buat, kita nak buat macam mana. Amboi, kita dah zon merah kot. Dia kata kalau kita dah betul-betul lockdown baru kita akan kawal. Habis selama ni mereka tak meronda ke? mereka duduk di pejabat sahaja?

“Saya rasa polis perlu letak Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) atau sukarelawan yang betul-betul nak buat kerja ini duduk di tempat yang degil. Saya nak cadangkan itu sahaja. Yang mana setiap tempat setiap daerah kena ada yang boleh halau mereka ini..bagi mereka jadi spy panggil polis datang waktu itu juga. Saya taktaulah kalau PDRM jawab macam ni, saya rasa orang akan ambil oh polis pun takkisah. Polis pun buat taktahu. Itu yang saya geram tu dengan PDRM tadi. Memanglah dia kata dia halau, tapi berapa kali mereka pergi tengok buat spotcheck.

“Doktor jadi macam ni sebab telefon doktor rasa ‘helpless’ sebab taktau buat macam mana lagi. Sebab kita ni tiada kuasa. MKN atau PDRM buatlah satu tindakan di tempat-tempat ini,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 April 2020 @ 11:48 AM