KEADAAN aliran trafik di sekitar ibu kota lengang berikutan PKP bagi menangani penularan Covid-19. FOTO FATHIL ASRI.
KEADAAN aliran trafik di sekitar ibu kota lengang berikutan PKP bagi menangani penularan Covid-19. FOTO FATHIL ASRI.
BERNAMA

SEMALAM genaplah 30 hari rakyat Malaysia menempuh dengan tabah cabaran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan kerajaan sejak 18 Mac lalu berikutan ekoran pandemik Covid-19.

Banyak perkara berubah 360 darjah antaranya kesibukan lalu lintas dan orang ramai di tengah bandar tidak kelihatan, sekolah dan institusi pendidikan masih ditutup serta hanya perkhidmatan penting dibenar beroperasi.

Ramai memanfaatkan peluang ‘cuti’ ini untuk berada bersama keluarga sepanjang masa; perkara yang selalu menjadi dambaan setiap masyarakat terutama di bandar besar sebelum ini.

Pada masa sama, persoalan mengenai bila tempoh PKP akan berakhir sering menjadi tanda tanya dan dinanti-nantikan terutama masyarakat beragama Islam yang akan menyambut Ramadan tidak lama lagi.

Kemeriahan membeli juadah berbuka puasa di bazar Ramadan dan mengerjakan solat Tarawih di masjid dan surau tidak dapat dijalani kali ini sebagai usaha menjaga kebaikan semua ketika penularan wabak Covid-19.

Namun, persoalannya bagaimanakah PKP memberi kesan kepada kehidupan seharian, daripada segi cara hidup dan kesihatan mental masyarakat setakat ini?

KEADAAN di Terminal Bersepadu Selatan (TBS) yang kelihatan lengang ketika fasa PKP. FOTO BERNAMA
KEADAAN di Terminal Bersepadu Selatan (TBS) yang kelihatan lengang ketika fasa PKP. FOTO BERNAMA

Pengarah Pusat Kaunseling Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr Fauziah Mohd Sa’ad ketika dihubungi Bernama berkata, rakyat Malaysia sedang mengadaptasi dan menyesuaikan diri mereka bagi menghadapi PKP.

“Sekarang kita berhadapan dengan situasi sangat berbeza berbanding sebulan lalu dan termaktub dalam prosedur operasi standard (SOP) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Ia memang satu perubahan drastik, namun rakyat perlu berlapang dada dan menerima situasi ini kerana ia bukan saja membabitkan nyawa seseorang, malah kita bertanggungjawab memutuskan semua rantaian Covid-19 dalam semua komuniti,” katanya.

Beliau berkata, PKP dapat dilalui dengan baik sekiranya kita sentiasa berfikiran positif dan tidak membenarkan perasaan negatif menyusup masuk ke dalam fikiran.

“Kalau kita negatif, semua jadi negatif, sebab itu kes keganasan rumah tangga berlaku sebagai contohnya. Kalau berfikiran positif, kita dapat bina good energy dalam mentaliti, seterusnya mengubah keadaan bosan atau stres ketika di rumah,” jelasnya.

KEADAAN sunyi menjelang fasa ketiga PKP di Bangunan Merah Bandar Hilir, Melaka. FOTO NAZRI ABU BAKAR
KEADAAN sunyi menjelang fasa ketiga PKP di Bangunan Merah Bandar Hilir, Melaka. FOTO NAZRI ABU BAKAR

Beliau turut mencadangkan supaya seseorang itu melakukan pelbagai aktiviti dalam masa terluang kini untuk mengelakkan rutin sama saban hari.

Pakar Psikologi Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling Universiti Malaya (UM), Profesor Datin Dr Mariani Md Nor berkata, PKP dilihat sebagai satu rahmat kerana ia turut membawa banyak kebaikan.

Katanya, isu Covid-19 dalam negara secara amnya mendisiplinkan rakyat Malaysia, di samping mewujudkan persekitaran muafakat bersama keluarga.

“Kalau dulu malas nak basuh tangan, sekarang automatik jadi rutin, dapat eratkan hubungan kekeluargaan, makan sama-sama dan melakukan aktiviti santai, lebih-lebih lagi menjelang Ramadan, banyak aktiviti agama dapat dilakukan.

“Jadi dalam keadaan (PKP) sekarang, kalau tidak pandai mengkreatifkan suasana membosankan, individu terbabit akan menjadi terlalu bosan, boleh menyebabkan stres seterusnya menjejaskan kesihatan mental,” katanya.

Mengenai Ramadan, beliau berkata, waktu PKP boleh dimanfaatkan sepenuhnya bagi aktiviti masakan dengan membabitkan anak memandangkan ketiadaan bazar Ramadan tahun ini selain solat Tarawih bersama-sama ahli keluarga.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 April 2020 @ 6:35 AM