Mohd Jamilul Anbia Md Denin dan Ekhwan Haque Fazlul Haque

‘TERIMA kasih, moga Tuhan merahmati anda’, ‘Jangan hilang harapan atau bersedih!’, ‘Syukur makanan sedap serta pemberian sejadah’ dan ‘Maaf kami membebankan anda.’

Itu antara kata-kata penghargaan dan semangat diberikan rata-rata individu yang dikuarantin kepada petugas barisan hadapan menjaga mereka.

Nota ringkas itu ditulis sebelum ditampal pada pintu bilik kuarantin didiami sebagai tanda penghormatan terhadap setiap petugas yang memastikan kebajikan, kesihatan dan keselamatan mereka terjamin.

Ketua Operasi ataupun Penyelaras Stesen Kuarantin (SK) di Hotel Impiana Kuala Lumpur, Kapten (PA) Mohd Hafiz Ismail berkata, apa dilakukan itu cukup mengharukan petugas sekali gus memadamkan persepsi wujudnya ‘kluster kayangan’.

Menurutnya, adalah tidak adil melabelkan seseorang itu hanya disebabkan tindakan kurang matang segelintir individu yang mempertikaikan petugas barisan hadapan ketika mereka dibawa ke pusat kuarantin.

Katanya, di SK berkenaan, persepsi ‘kluster kayangan’ ditukar kepada ‘kluster kesayangan’ kerana pasukan penyelaras menerapkan elemen kekeluargaan dan kasih sayang kepada setiap penghuni.

“Nota kecil mengandungi kata semangat yang ditampal di luar pintu bilik sudah memadai untuk memadamkan kepenatan kami yang bertugas 24 jam tanpa henti.

“Malah, mesej dihantar majoriti daripada lebih 400 penghuni dikuarantin di sini melonjakkan motivasi kami.

“Tiada apa yang lebih menggembirakan petugas selain daripada mendapat kerjasama dan sokongan yang sangat baik daripada penghuni sepanjang mereka menjalani proses ini (kuarantin).

“Kami mahu buktikan bukan semua mereka yang pulang dari luar negara itu mahu layanan istimewa dan bersyukur kerana penghuni memberikan sokongan yang berterusan sepanjang penugasan di SK ini,” katanya kepada Harian Metro.

ANTARA nota penghargaan yang diberikan individu dikuarantin kepada petugas barisan hadapan di SK.
ANTARA nota penghargaan yang diberikan individu dikuarantin kepada petugas barisan hadapan di SK.

Mohd Hafiz berkata, selaku ketua penyelaras, kerenah penghuni tidak dapat dinafikan, namun kaedah penerangan yang jelas perlu diberi agar mereka memahami situasi sebenar dan kekangan yang perlu dilalui petugas.

Katanya, setiap penghuni akan dimasukkan di dalam kumpulan WhatsApp bagi memudahkan mereka berkomunikasi dengan petugas sekiranya terdapat sebarang masalah dan pertanyaan.

“Bayangkan kami sebagai ‘ibu dan bapa’ kepada lebih 400 anak yang perlu dijaga selain segala keperluan dapat dipenuhi sebaik mungkin.

“Pada mulanya pasti wujud kesukaran, tetapi selepas memberikan penjelasan lanjut, mereka sudah faham malah turut memberikan cadangan lain untuk memudahkan sesuatu urusan itu diselesaikan,” katanya.

Katanya, urusan juga lebih mudah apabila mendapat kerjasama sangat baik daripada pengurusan hotel berkenaan yang sama berganding bahu memastikan kelancaran proses kuarantin ini.

SEBAHAGIAN individu dikuarantin melambai tangan tanda sokongan kepada barisan hadapan di Hotel Impiana Kuala Lumpur. FOTO Aswadi Alias
SEBAHAGIAN individu dikuarantin melambai tangan tanda sokongan kepada barisan hadapan di Hotel Impiana Kuala Lumpur. FOTO Aswadi Alias

Beliau berkata, tanpa persefahaman dan kerjasama erat sudah pasti kelancaran proses kuarantin ini terganggu memandangkan ini adalah situasi dan pengalaman baharu untuk semua pihak.

Fokus kebajikan, kesihatan, keselamatan

Aspek kebajikan, kesihatan dan keselamatan menjadi fokus petugas di stesen kuarantin (SK) ketika mengendalikan individu wajib dikuarantin.

Pelbagai cabaran dan kerenah perlu dihadapi setiap petugas barisan hadapan untuk memastikan individu ini mendapat layanan terbaik sepanjang tempoh 14 hari berada di SK.

Kerajaan sudah mewartakan 551 pusat kuarantin Covid-19 yang mampu menempatkan bilangan besar individu dalam satu-satu masa untuk memudahkan pemantauan dilaksanakan.

PETUGAS barisan hadapan menjalankan tugas penyediaan makanan di pusat operasi di Hotel Impiana Kuala Lumpur. FOTO Asyraf Hamzah
PETUGAS barisan hadapan menjalankan tugas penyediaan makanan di pusat operasi di Hotel Impiana Kuala Lumpur. FOTO Asyraf Hamzah

Memperincikan tugasan itu, Penyelaras SK di Hotel Impiana di sini, pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM), Kapten (PA) Hafiz Ismail berkata, setiap penghuni SK yang tiba dari luar negara ditempatkan di dalam bilik hotel dan tidak dibenarkan keluar.

Katanya, kawasan bilik individu dikuarantin dikategorikan sebagai zon merah dan petugas seperti doktor, pengendali makanan dan penyelenggaraan perlu memakai pakaian perlindungan peribadi (PPE) untuk apa juga urusan di kawasan berkenaan.

“Harga setiap PPE agak mahal. Jumlah yang terhad menyebabkan kami perlu memastikan ia digunakan sebaik mungkin berikutan petugas perlu memakainya untuk empat jam. Maka tugasan perlu dilaksanakan dalam tempoh itu.

“Mereka yang perlu bertemu individu dikuarantin wajib memakai PPE bagi mengurangkan risiko jangkitan walaupun penghuni belum dikategorikan sebagai positif. Ia adalah prosedur ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk pengendalian penghuni di SK,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 April 2020 @ 10:00 AM