RAKAMAN video yang tular menunjukkan seorang lelaki menyembur cat ke arah kera yang ditangkap Perhilitan. FOTO FB Persatuan Haiwan Malaysia
RAKAMAN video yang tular menunjukkan seorang lelaki menyembur cat ke arah kera yang ditangkap Perhilitan. FOTO FB Persatuan Haiwan Malaysia
Mohd Rafi Mamat


JABATAN Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Pahang menahan seorang lelaki kerana melakukan penganiayaan terhadap seekor kera di Taman Astaka Village, Kuantan, kelmarin.

Pengarahnya, Rozidan Md Yasin berkata, lelaki tempatan berusia 40-an itu ditahan susulan tindakannya menembak haiwan berkenaan yang berada dalam perangkap milik Perhilitan menggunakan senapang tiruan.

Menurutnya, lelaki terbabit turut mengecat haiwan berkenaan dengan menggunakan penyembur dan perbuatan itu boleh didakwa mengikut Seksyen 86 (Kezaliman Terhadap Hidupan Liar) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010.

Katanya, penahanan lelaki terbabit dilakukan selepas pihaknya menerima aduan daripada Persatuan Haiwan Malaysia berikutan tular video perbuatan dia menembak kera menggunakan senapang tiruan dan mengecatnya selepas haiwan terbabit terperangkap dalam perangkap yang dipasang Perhilitan.

“Kita tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak bertindak zalim dan menganiaya haiwan liar atau binatang pelihara, tindakan undang-undang sedia menanti individu berkenaan.

“Kita akan dakwa lelaki berkenaan dalam masa terdekat selepas semua kertas siasatan lengkap disediakan dan ini kes pertama di negeri membabitkan kesalahan mengikut Seksyen 86,” katanya, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya memuji tindakan Persatuan Haiwan Malaysia yang segera menghubungi Perhilitan sebaik melihat video terbabit.

“Dalam masa beberapa jam anggota penguat kuasa Perhilitan Pahang mengesan individu berkenaan.

“Kita memasang perangkap kera di Taman Astaka Village sejak beberapa hari lalu selepas penduduk membuat aduan haiwan berkenaan menimbulkan masalah kepada mereka.

“Kedudukan taman berkenaan yang bersebelahan dengan kawasan hutan menjadi faktor kera banyak di situ,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 April 2020 @ 11:28 AM