TRW tidak bersetuju jika aksi diteruskan tanpa kehadiran penonton. FOTO BERNAMA
TRW tidak bersetuju jika aksi diteruskan tanpa kehadiran penonton. FOTO BERNAMA
Syazwan Msar

TERDAPAT beberapa pasukan Liga Malaysia (Liga M) sudah mula memberi bayangan mahu saingan liga pada musim ini dibatalkan atau bersambung tahun hadapan daripada diteruskan dalam waktu suntuk seterusnya bakal menimbulkan pelbagai masalah nanti.

Malah, jika diteruskan juga tanpa penonton di stadium sudah pastinya akan menyaksikan satu persatu pasukan ‘gugur’ apabila situasi terbabit membebankan mereka berikutan hilang sumber pendapatan menerusi penjualan tiket.

Antara pasukan yang sudah mengangkat’ bendera putih’ untuk meneruskan saingan liga adalah Kelantan apabila mereka kini berada dalam situasi tersepit selepas pengurusan Team Red Warrior(TRW) Sdn Bhd yang menguruskan skuad itu tidak bersetuju jika aksi diteruskan tanpa kehadiran penonton.

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Kelantan (Kafa), Hussin Deraman memaklumkan pihaknya mahu saingan liga dibatalkan jika perlawanan diteruskan tanpa penonton.

Beliau berkata, penjualan tiket perlawanan menyumbang 50 peratus sumber pendapatan pasukan merangkumi pembayaran gaji pemain, program pembangunan akar umbi dan kos pengurusan.

“Kami mungkin tidak boleh meneruskan saingan liga jika bersambung tanpa penonton nanti kerana ia kehendak TRW yang menguruskan pasukan terbabit.

“TRW adalah syarikat yang juga bergantung kepada kehadiran orang ramai ke stadium sebagai bentuk promosi namun jika stadium kosong sudah tentu merugikan mereka.

“Oleh itu, kami melihat lebih wajar ditangguhkan hingga ke tahun depan manakala soal gaji pemain pula akan berbincang dengan mereka bagi mendapatkan jalan penyelesaian,” katanya, ketika dihubungi Arena Metro, semalam.

Sebelum itu, Arena Metro melaporkan industri bola sepak negara bakal melalui situasi sukar untuk tempoh beberapa bulan akan datang apabila pasukan yang bergantung kepada dana kerajaaan negeri kemungkinan besar akan terjejas berikutan peruntukan kepada mereka berkurangan.

Malah, industri bola sepak akan melalui situasi terumbang ambing berikutan tidak mendapat ‘perhatian’ kerajaan negeri untuk menyuntik dana disebabkan peruntukan digunakan untuk memulihkan ekonomi dan hal lain yang lebih penting.

Sementara itu, Setiausaha Kehoramat Persatuan Bolasepak Perak (Pafa), Mohamad Azlin Mohd Nadzri berkata, sekarang ini segala keputusan terletak di tangan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) untuk meneruskan saingan liga pada musim ini atau sebaliknya.

“Pada pendapat kami banyak perkara perlu dilihat apabila saingan liga diteruskan terutama jika wabak berkenaan menjangkiti pemain seterusnya boleh melumpuhkan pasukan apabila seluruh skuad perlu dikuarantin,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 April 2020 @ 6:30 AM