Saipul Adli Mohamad; Amir Abd Hamid dan Mahaizura Abd Malik


KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) risau dengan sikap penduduk zon hijau apabila mulai mengambil mudah situasi tiada kes baharu Covid-19 dilaporkan di kawasan mereka.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, masih terdapat segelintir masyarakat melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) seperti diumumkan Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, setiap hari.

Beliau berkata, KKM khuatir masyarakat alpa lalu mengambil mudah nasihat kesihatan yang dikeluarkan kerana memikirkan bahawa wabak ini hampir selesai.

"Pada hakikatnya, peperangan menentang musuh yang tidak kelihatan ini masih belum tiba ke penghujungnya. Oleh itu, KKM menyeru semua masyarakat termasuk mereka di kawasan diisytiharkan sebagai zon hijau agar tidak leka dan kekal mematuhi PKP.

"Virus Covid-19 adalah musuh kita bersama, namun harus diingat bahawa kelalaian dan sikap ambil mudah masyarakat pula adalah sekutu kepada virus ini.

"Masyarakat perlu mengamalkan jarak sosial selamat sekurang-kurangnya 1 meter dari orang lain di samping mengamalkan tahap kebersihan diri tinggi seperti kerap

mencuci tangan dengan air dan sabun," katanya ketika sidang media berhubung situasi semasa jangkitan Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

DR Noor Hisham ketika hadir ke sidang media harian berkaitan jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan. FOTO Bernama
DR Noor Hisham ketika hadir ke sidang media harian berkaitan jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan. FOTO Bernama

Sebanyak 66 daerah dikategorikan zon hijau yang menunjukkan peningkatan satu daerah lagi mencatatkan sifar jangkitan Covid-19, setakat 12 tengah hari semalam.

Kulim di Kedah menjadi daerah terbaru menokok satu lagi zon hijau itu yang juga hatrik pertambahan daerah bebas jangkitan sejak 22 April.

Setakat ini, Perlis kekal negeri tunggal zon hijau kerana merekodkan kes jangkitan sifar bagi tempoh melebihi dua minggu.


  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 April 2020 @ 5:11 PM