MIRA menafikan dia sudah bertunang seperti didakwa.
MIRA menafikan dia sudah bertunang seperti didakwa.
MIRA tidak bersedia umum bila tamatkan zaman bujang lebih-lebih lagi ketika PKP sekarang ini.
MIRA tidak bersedia umum bila tamatkan zaman bujang lebih-lebih lagi ketika PKP sekarang ini.
Sudirman Mohd Tahir

SELAIN kerjaya seni yang kini berada di puncak, nama pelakon terkenal, Mira Filzah, 27, terus meniti di bibir peminat.

Memiliki personaliti disenangi ramai membuatkan Mira mudah didekati selain sikapnya yang lemah lembut dan merendah diri.

Harga yang perlu dibayar apabila menjadi orang terkenal ialah setiap inci kehidupannya menjadi perhatian masyarakat.

Selepas pengakuannya sedang berkawan dan mengenali hati seseorang yang bukan dalam kalangan penggiat industri hiburan di Harian Metro pada 15 Disember tahun lalu, Mira terus diburu bagi mendapatkan penjelasan sebenar.

Walaupun beberapa media dan portal sudah mendedahkan nama lelaki yang berjaya menawan hatinya iaitu Wan Emir Astar yang juga anak kepada Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datin Mastura Mohd Yazid, Mira selesa mengunci mulut.

Namun, perkongsian pelakon Lelaki Kiriman Tuhan itu pada program Bual Bicara Santai dikendalikan Ustazah Asma' Harun di Instagram baru-baru ini merungkai status sebenar dirinya yang hati sudah dimiliki.

Namun, Mira menafikan dia sudah bertunang seperti didakwa.

"Ustazah hanya menjelaskan dari segi Islam, apabila ada persetujuan kedua-dua keluarga, kiranya sudah bertunang. Itu penjelasan daripada Ustazah Asma' Harun apabila saya memberitahu yang keluarga kami sudah berjumpa.

"Ya, kedua-dua keluarga sudah berjumpa dan melakukan perbincangan, tapi dari segi adat belum lagi," katanya.

Difahamkan, pelakon filem Sangkar itu juga bakal mendirikan rumah tangga pada Oktober ini. Namun, Mira sekali lagi membiarkan perkara itu terus menjadi teka-teki.

Sebaliknya, Mira berjanji akan berkongsi perkara itu apabila tiba waktu sesuai.

"Apabila tiba waktunya saya akan maklum tarikh, insya-Allah. Semoga segala urusan dipermudahkan.

"Tambah lagi keadaan negara sekarang tidak menentu. Sampai masa sesuai, saya akan umumkan," katanya.

Ditanya mengenai persediaannya melangkah ke gerbang perkahwinan dan menggalas tanggungjawab baharu sebagai isteri, Mira berkata, dia sedang belajar ke arah itu.

"Saya tak tahu nak kata macam mana. Tapi, apa yang bagusnya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan adalah saya boleh belajar memasak, mengaji, mendalami ilmu agama dan solat jemaah bersama keluarga.

MIRA menafikan dia sudah bertunang seperti didakwa.
MIRA menafikan dia sudah bertunang seperti didakwa.

"Secara tidak langsung itu juga mendidik dan menjadikan saya seorang wanita yang lebih baik dan bersedia untuk menggalas tanggungjawab pada masa akan datang," katanya.

Diusik ciri-ciri yang ada pada kekasihnya itu sehingga membuatkan dia terbuka hati untuk membawa hubungan mereka ke fasa serius, Mira seboleh-bolehnya mahu segala dirancang berlangsung dahulu.

"Sejujurnya, saya kurang selesa untuk bercakap soal ini pada peringkat sekarang ini. Biarlah segala yang dirancang selamat dahulu. Kemudian saya akan kongsikan," katanya.

Pada masa sama, Mira bersyukur apabila kedua-dua keluarga menerima keadaan itu dengan baik.

"Penerimaan kedua-dua keluarga sangat baik," katanya ringkas.

Ramadan paling bermakna

Memasuki hari ketiga umat Islam menjalani ibadat puasa hari ini, apa yang pasti Ramadan kali ini disifatkan paling bermakna dalam diri Mira.

"Tahun ini Ramadan paling bermakna buat saya. Beberapa tahun sebelum ini setiap kali Ramadan saya sibuk.

"Ada hikmah di sebalik PKP. Saya dapat menyambut Ramadan di rumah bersama keluarga, dapat bersahur, berbuka puasa, solat jemaah dan tadarus bersama-sama keluarga.

"Peluang ini bukan selalu kita dapat, hanya sebulan dalam setahun. Saya harap Ramadan tahun ini kita semua dapat rebut peluang untuk memperbanyakan beribadat. Ada hikmah setiap yang berlaku," katanya.

Dalam hal kerja pula, Mira mengakui terpaksa menangguhkan penggambaran Bidadari Kiriman Tuhan lakonan bersama Zul Ariffin yang sepatutnya ditayangkan Ramadan ini di saluran Astro Ria.

"Sepatutnya saya menghabiskan penggambaran drama Bidadari Kiriman Tuhan bulan ini bagi tayangan Ramadan ini. Tapi, kami tak dapat habiskan dan ditangguhkan sehingga PKP selesai.

"Tempoh tayangan drama juga akan dilanjutkan selepas Aidilfitri, insya-Allah. Semua bergantung pada stesen televisyen.

"Dalam drama ini, saya digandingkan bersama Zul Ariffin. Pelakon lain yang sangat hebat antaranya Zarina Zainuddin, Ruminah Sidek, Adlin Aman Ramli dan Fauziah Nawi yang di bawah arahan Rashid Sibir.

"Jadi, buat masa sekarang hanya aktiviti di rumah saja. Aktiviti di rumah lebih kepada kegiatan bersama keluarga seperti solat berjemaah, belajar mengaji dan tajwid dengan abah serta belajar masak dengan mak," katanya yang hanya terbabit dengan beberapa komitmen sebagai duta antaranya untuk Galeri Ariani.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 April 2020 @ 6:08 AM