Shamran Sarahan dan Amir Abd Hamid dan Suraya Roslan


SEHINGGA 12 tengah hari ini, 94 kes baharu jangkitan koronavirus baharu (Covid-19) dilaporkan dan merekodkan 5,945 kes keseluruhan dalam negara.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 72 kes baharu membabitkan kes import daripada pelajar tempatan yang balik dari Indonesia, hanya 22 kes membabitkan penularan tempatan.

Mengenai kes pulih dan dibenarkan discaj daripada fasiliti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), beliau berkata, sebanyak 55 kes dilaporkan.

Katanya, jumlah kumulatif kes pulih sepenuhnya daripada jangkitan Covid-19 meningkat kepada 4,087 kes dengan kadar kesembuhan 68.75 peratus, hari ini.

"Sehingga kini, 40 kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), daripada jumlah itu, 18 kes memerlukan bantuan pernafasan

"Kes aktif (positif Covid-19) kebolehjangkitan seramai 1,758 pesakit, mereka sudah diasingkan dan diberi rawatan," katanya pada sidang media harian berkaitan Covid-19 di Putrajaya, semalam.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata, tiada kematian berkaitan jangkitan Covid-19 dilaporkan kepada Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC), setakat 12 tengah hari ini.

DR Noor Hisham ketika sidang media harian Covid-19 . FOTO Mohd Fadli Hamzah
DR Noor Hisham ketika sidang media harian Covid-19 . FOTO Mohd Fadli Hamzah

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 April 2020 @ 4:51 PM