TIADA kisah sensasi, kontroversi mungkin antara sebab bintang kelahiran Singapura ini belum cukup dikenali.
TIADA kisah sensasi, kontroversi mungkin antara sebab bintang kelahiran Singapura ini belum cukup dikenali.
Sudirman Mohd Tahir

NAMA pelakon Iswan Ismail kembali mencuri perhatian selepas membintangi drama Seindah Tujuh Warna Pelangi yang ditayangkan di slot Akasia, TV3 baru-baru ini.

Berbanding di awal kemunculan ketika mula dikenali menerusi drama Hero Seorang Cinderella, kerjaya lakonan Iswan semakin mendapat tempat.

Namun, dalam kalangan pelakon baru perlu diakui nama Iswan, 32, atau nama sebenarnya Muhammad Iswan Ismail belum betul-betul 'panas'.

Malah, ada beranggapan bintang kelahiran Singapura ini bersih daripada kisah sensasi menjadikan dirinya lambat 'panas'.

"Mungkin saya tidak ada kontroversi. Soal gosip atau kontroversi tidak dinafikan boleh membantu seseorang itu kerana 'all publicity is good publicity'.

"Namun, secara peribadi saya mahu lebih fokus untuk meningkatkan mutu lakonan di setiap peluang yang saya dapat. Saya juga mahu menjadi 'role model' yang baik kepada semua," katanya.

Dalam masa sama, Iswan yang pernah tercalon sebagai Top 5 Artis Baharu Lelaki Popular pada Anugerah Bintang Popular BH 32 (ABPBH32) percaya menjadi hero di slot popular kaca televisyen membantu pelakon itu lebih dikenali.

"Angan-angan dan harapan itu memang ada. Sebenarnya, saya ada dapat tawaran watak hero untuk drama RTM yang sepatutnya memulakan penggambaran pada 18 Mac lalu selama dua bulan di Sabah, tapi disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, penggambaran ditangguh. Tidak pasti macam mana pula nanti keadaan selepas PKP.

ISWAN guna laman sosial berkongsi perkara mendatangkan manfaat.
ISWAN guna laman sosial berkongsi perkara mendatangkan manfaat.

"Saya percaya menjadi hero di slot popular lebih cepat dikenali. Slot popular lebih ramai penonton dan orang akan berkongsi di laman sosial. Sekarang golongan muda ramai menonton slot popular saja dan mereka juga yang lebih aktif di laman sosial," katanya.

Namun, Iswan tetap bersyukur sepanjang empat tahun kerjaya di Malaysia dia sentiasa dihujani tawaran berlakon. Ketika ini beberapa drama lakonannya ditayangkan di stesen TV berbeza.

"Saya tak terasa sangat dari segi popularity, tapi lebih kepada ramai mula nampak yang lakonan saya lebih matang dan banyak peningkatan.

"Dari awal tahun ini, alhamdulillah ada dua lagi drama saya ditayangkan iaitu Isteriku 120kg di RTM dan Kasih Tak Terungkap di TV

Okey. Mungkin juga sebab tiga drama ini keluar serentak jadi lebih ramai sedar dan kenal saya di TV.

"Malah, daripada maklum balas dan mesej di Instagram yang saya terima sangat positif. Ada cakap saya banyak peningkatan seperti dalam drama Seindah Tujuh Warna Pelangi. Tidak ketinggalan ada juga sampai benci watak itu sebab nak rampas isteri Andika.

"Jadi, saya bersyukur lakonan makin diterima. Apapun memang banyak lagi saya kena pelajari dan perbetulkan," katanya.

Iswan turut menyasarkan dalam tempoh lima tahun ini dia dapat berlakon filem.

"Saya berharap satu hari nanti akan dapat membawa watak utama dengan baik selepas mengumpul pengalaman. Dalam tempoh lima tahun akan datang ini saya harap dapat tawaran berlakon filem pula," katanya.

Simbol seks?

Dari sisi lain, ramai juga yang melihat penampilan Iswan sebagai simbol seks kerana memiliki penampilan dan sosok tubuh kekar.

Ditambah lagi apabila Iswan antara yang kerap 'belanja' pengikut laman sosial dengan gambar yang menampakkan tubuhnya yang 'sado'.

"Sebenarnya, saya tidaklah fikir nak memuat naik gambar seksi, cuma sekadar ingin memberi semangat untuk orang kekal 'fit' dan sihat.

"Dalam masa sama, nak juga tunjuk yang saya masih lagi 'fit' dan sihat. Tapi, kalau ada fikir penampilan saya sebagai simbol seks, rasa terharu juga sebab tidak semua orang dapat macam itu," katanya.

Berkongsi mengenai Ramadan yang disambut ketika musim PKP, Iswan menggunakan laman sosial dimiliki untuk berkongsi perkara yang mendatangkan manfaat buat semua.

"Bagi Ramadan PKP tahun ini, saya cuba untuk lebihkan sesi perkongsian di Instagram secara langsung bermula dengan PU Azman mengenai solat Tarawih, penjagaan kulit bersama Dr Ting Song dan akan datang juga masak bersama Cef Anis di Instagram.

"Semoga apa saya buat ini memberikan maklumat berguna dan sedikit hiburan. Selain itu, saya juga membantu kawan untuk mulakan perniagaan 'butter chicken' dan boleh membuat tempahan di tuk.tukfood.

"Sepanjang PKP ini saya memang duduk di rumah di Singapura bersama ibu dan bapa. Saya lebih fokus untuk betulkan solat, bacaan al-Quran dan cuba perbanyakkan sedekah dalam talian," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Mei 2020 @ 6:00 AM