KEADAAN khemah usang yang didiami Pelajar terbabit bersama keluarga abangnya yang tular. FOTO Tular
KEADAAN khemah usang yang didiami Pelajar terbabit bersama keluarga abangnya yang tular. FOTO Tular
Omar Ahmad


PENUNTUT Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang tular berikutan tinggal di khemah usang di sebuah daerah di Negeri Sembilan dikenal pasti sebagai penuntut tahun akhir program PhD di Sekolah Kejuruteraan Awam, Fakulti Kejuruteraan, universiti berkenaan.

Pejabat Hal Ehwal Korporat UTM pada kenyataan yang dimuat naik di laman web rasminya menyatakan, penuntut itu turut sudah menerima biasiswa dana penyelidikan yang meliputi yuran dan sara hidup.

Katanya, penuntut berkenaan juga sudah diberi peluang bekerja sambil belajar sebagai pembantu penyelidik pelajar (SLPP RA) sebaik tempoh biasiswa tamat.

"Beliau menerima biasiswa (Dana Universiti Penyelidikan) daripada semester dua hingga enam pengajian meliputi yuran dan kos sara hidup, selain zakat daripada UTM.

"Penuntut itu juga pernah dibenarkan menangguhkan pengajian selama dua semester atas sebab kesihatan.

"UTM sudah menghubungi penuntut berkenaan bagi mendapatkan maklumat lanjut supaya bantuan tambahan dapat diberikan, berdasarkan kelayakan," katanya.

Menurut kenyataan, UTM prihatin dengan aspek kebajikan penuntut selain menghargai keprihatinan semua pihak terhadap penuntutnya.

"UTM juga memohon jasa baik agar semua pihak tidak menyebarkan berita yang tidak sahih, tanpa mengetahui perkara sebenar bagi menjaga kesejahteraan bersama," katanya.

Terdahulu, keadaan rumah penuntut dikenali sebagai Maznah Ismail di Malan, Dangi tular apabila dia dihantar pulang selepas terkandas di kampus sejak penularan Covid-19.

Difahamkan, khemah usang itu didiami abang kandungnya, Radzuan Ismail bersama isteri dan enam anak termasuk anak sulung berusia 22 tahun yang sedang menuntut di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) Gombak, Selangor.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Mei 2020 @ 1:38 PM