PERNIKAHAN sempadan kebiasaannya dilakukan di Pejabat Agama Wilayah Songkhla.
PERNIKAHAN sempadan kebiasaannya dilakukan di Pejabat Agama Wilayah Songkhla.
Muhammad Saufi Hassan


"LAPAN pasangan sudah menunggu (untuk nikah di sempadan) namun saya terpaksa tangguh dulu memandangkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) manakala di Thailand juga turut mengenakan perintah yang seakan-akan sama.

"Sebelum musim PKP ini juga, sekitar empat pasangan sebulan yang saya sendiri uruskan...Boleh dikatakan hampir setiap minggu saya akan masuk (Songkhla, Thailand) dan menguruskan perkahwinan mereka."

Demikian penjelasan seorang 'pemudah cara' perkahwinan sempadan yang mahu dikenali sebagai Rudi dan sepanjang PKP ini, dia terpaksa menangguhkan semua urusan berkenaan sekali gus menjejaskan punca pendapatannya.

"Pada waktu biasa iaitu sebelum PKP, saya boleh mendapat wang sampingan dianggarkan sekitar RM12,000 setiap bulan dan kebiasaannya, tidak kurang daripada empat pasangan saya uruskan perkahwinan mereka.

"Kos pengurusan pula saya tak ambil terlalu tinggi seperti sesetengah orang kerana saya faham kebanyakan pasangan ini terdesak dan saya lebih kepada pemudah cara untuk mereka," katanya ketika dihubungi.

Rudi berkata, setiap nikah sempadan ini akan dilakukan di Pejabat Agama Wilayah Songkhla (Thailand) dan itu adalah satu-satunya tempat untuk melaksanakan urusan pernikahan dan pasangan juga perlu mengemukakan laporan pernikahan di Pejabat Konsulat Malaysia sebaik selesai pernikahan.

"Lapan pasangan yang sudah menunggu ini sebahagian besarnya adalah untuk berpoligami dan ada juga satu dua pasangan yang tidak direstui oleh keluarga. Tetapi, kebiasaannya pasangan yang bernikah di sempadan ini adalah isu poligami.

"Prosedur pernikahan di pejabat agama negara jiran tidak mudah seperti yang disangka, setiap pasangan perlu mengemukakan pasport, sijil perceraian jika sudah bercerai dan kad pengenalan.

"Ada kes yang wanita menipu status sebagai anak dara sedangkan ibu tunggal jadi akan menghadapi masalah untuk melakukan pendaftaran perkahwinan di pejabat konsulat dan mahu mendaftar di mana-mana Jabatan Agama Islam Negeri (Jain) kerana mereka turut menggunakan sistem yang sama untuk semakan," katanya.


Rudi menjelaskan kos pengurusan yang diambil untuk tujuan itu adalah sekitar RM3,000 hingga RM4,000 dan ini termasuk penginapan dua hari satu malam, pengangkutan dan makan sepanjang berada di Thailand.

"Kalau ikutkan kadar ini memang rendah, orang lain ada yang ambil RM4,500 hingga RM6,000. Saya tak sampai hati ambil kos sampai banyak sebegitu memandangkan saya bukanlah ejen, lebih kepada pemudah cara dan kebanyakan pasangan adalah kenalan ataupun rakan saya yang memperkenalkan kepada mereka.

"Untuk yuran perkahwinan di pejabat agama adalah sekitar RM650, itu pun bergantung kepada kadar tukaran wang semasa manakala kos pendaftaran di konsulat sekitar RM120.

"Sepanjang pengalaman saya sejak lebih enam tahun ini, kebanyakan pasangan mahu berpoligami, namun takut untuk mengikut prosedur di negara ini dan alternatifnya ialah berkahwin di negara jiran tanpa memerlukan tandatangan sebagai persetujuan isteri pertama," katanya.

Sementara itu, seorang jurunikah di Pejabat Agama Wilayah Songkhla, Kadi Fison Bendusa berkata, ketika ini pejabat agama masih belum dibenarkan beroperasi memandangkan kerajaan Thailand mengenakan perintah untuk mengehadkan sebarang aktiviti.

Katanya, awal tahun lalu hampir setiap hari ada pasangan Malaysia bernikah di pejabat agama dan mereka perlu membawa dokumen diminta seperti sijil cerai bagi yang pernah berkahwin, pasport serta alamat kediaman perlu melebihi dua marhalah atau 90 kilometer dari pejabat agama.

"Ada juga yang menyatakan anak dara tapi sebenarnya sudah berkahwin. Tindakan itu mengakibatkan akan berlaku kesukaran untuk pendaftaran dengan pejabat konsulat negara masing-masing dan sistem pendaftaran kami boleh disemak oleh jabatan agama di negara mereka (Malaysia)," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Mei 2020 @ 6:45 AM