HAMPIR 600 pesalah PKP kini ditempatkan di 11 penjara sementara di seluruh negara. FOTO Arkib NSTP
HAMPIR 600 pesalah PKP kini ditempatkan di 11 penjara sementara di seluruh negara. FOTO Arkib NSTP
Muhaamad Hafis Nawawi

BUKAN saja terpaksa berpuasa di sebalik tirai besi malah ada dalam kalangan mereka bakal beraya di dalam penjara selepas dijatuhi hukuman kerana ingkar perintah kawalan pergerakan (PKP).

Hukuman itu akibat kesalahan dilakukan mengikut peraturan 3 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam kawasan tempatan jangkitan) 2020.

Bagaimanapun, tempoh penjara antara pesalah terbabit tidak sama bergantung kepada kesalahan dan keputusan mahkamah.

Jabatan Penjara Malaysia dalam satu kenyataan berkata, hampir 600 pesalah PKP kini ditempatkan di 11 penjara sementara di seluruh negara kerana disabitkan kesalahan masing-masing.

Menurutnya, pesalah terbabit berusia antara 20 hingga 40-an yang ditahan sebelum ini kerana melanggar arahan PKP dan dijatuhkan hukuman penjara.

"Mereka ini ditempatkan di 11 penjara sementara seperti diumumkan kerajaan sebelum ini apabila akademi penjara dijadikan penjara sementara bagi menempatkan pesalah PKP.

"Akibatnya ada dalam kalangan mereka ini terpaksa menghabiskan tempoh hukuman penjara itu sehingga selepas hari raya," katanya.

Menurutnya, akademi penjara yang dijadikan penjara sementara itu ialah Maktab Penjara Kajang, Selangor; Pusat Latihan Pegawai Penjara Taiping, Perak; Institut Koreksional Melaka; Pusat Latihan Pegawai Penjara Kota Kinabalu, Sabah; Akademi Koreksional Malaysia Langkawi; Dewan Taman Wira, Penjara Sandakan, Sabah dan Dewan Ehsan, Penjara Tawau, Sabah.


"Selain itu, penjara sementara lain Pusat Latihan Pegawai Penjara Kluang, Johor; Pusat Latihan Pegawai Penjara Marang, Terengganu; Pusat Latihan Pegawai Penjara Perlis dan Pusat Latihan Pegawai Penjara Sarawak," katanya.

Menurutnya, Jabatan Penjara Malaysia turut menyediakan aktiviti kepada pesalah PKP yang menjalani hukuman termasuk mengadakan program pemulihan.

"Mereka juga diberikan ceramah, kaunseling, solat berjemaah dan sebagainya bagi mengisi masa mereka," katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Penjara Kajang, Abdul Halim Ma Hasan berkata, memandangkan ketika ini Ramadan maka pesalah PKP lebih banyak melakukan aktiviti keagamaan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Mei 2020 @ 10:00 AM