Marcel Kalonda (kiri) dan Harry Edge.
Marcel Kalonda (kiri) dan Harry Edge.
Firdaus Hashim

PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) tidak menunggu lama apabila berjaya menghubungi dua calon naturalisasi baharu, Harry Edge dan Marcel Kalonda yang berhasrat untuk menyarung jersi skuad Harimau Malaya.

Perkara itu disahkan Pengerusi Jawatankuasa Program Naturalisasi FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi kepada Arena Metro semalam susulan pendedahan akhbar ini mengenai keinginan pemain berkenaan memperkukuhkan benteng pertahanan negara di peringkat antarabangsa.

Jelas Yusoff, ketika ini pihaknya sedang mendapatkan dokumen rasmi daripada Edge dan Kalonda yang didakwa memiliki pertalian darah dengan Malaysia sebelum memikirkan langkah seterusnya untuk menguji kualiti permainan mereka.

"Kita dah hubungi kedua-duanya dan sekarang di peringkat untuk mengesahkan yang mereka sememangnya ada pertalian darah dengan negara kita.

"Menurut pegawai saya, mereka sedang mengumpulkan maklumat untuk kita lihat dan sekiranya betul, baru kita akan pergi ke proses berikutnya iaitu menilai kemampuan dan kualiti yang ada ada mereka," katanya ketika dihubungi.

Semalam, Arena Metro melaporkan benteng pertahanan kebangsaan dijangka bertambah ampuh sekukuh Tembok Besar China seandainya dua calon naturalisasi baharu iaitu Edge dan Kalonda yang memiliki susuk tubuh tinggi itu mampu membarisi pasukan negara.

Kedua-dua pemain yang beraksi di posisi pertahanan tengah itu difahamkan memiliki pertalian darah dengan negara ini dan berdasarkan peraturan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa), mereka boleh mewakili Malaysia dalam aksi antarabangsa.

Bapa Edge yang kini beraksi bersama kelab Torslanda IK di liga Sweden dikatakan lahir di Melaka manakala Kalonda yang bermain di liga Zambia didakwa memiliki susur galur keluarga dari Sabah dengan datuknya lahir di negeri bawah bayu itu.

"Contoh macam Lee Tuck, dia sebelum ini dikatakan ada pertalian darah dengan Malaysia. Tapi bila kita mohon dokumen, ia tak dapat disahkan. Jadi kita perlu selesaikan dulu proses dokumentasi (Edge dan Kalonda) itu," kata Yusoff.

Berita berkaitan

Harry, Marcel calon naturalisasi baharu

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Mei 2020 @ 6:30 AM