PERLU akur dengan arahan kerajaan dengan pelaksanaan PKPB dan mendoakan keselamatan ibunya di Filipina. FOTO Aziah Azmee
PERLU akur dengan arahan kerajaan dengan pelaksanaan PKPB dan mendoakan keselamatan ibunya di Filipina. FOTO Aziah Azmee
Norhayati Nordin

BUKAN hanya ibu, tetapi rindu seorang anak juga tidak mampu diungkap dengan kata-kata. Itulah yang kini sangat dirasai penyanyi, komposer dan pelakon berkaliber, Mark Adam

Sejak penularan pandemik Covid-19 di serata dunia dan negara pula melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), tiada apa yang mampu dilakukan selain akur dengan arahan kerajaan.

Mark atau Fikri Mark Adam Abdullah berkata, dia hanya mampu memendam rindu yang sarat di dalam hati dan mendoakan keselamatan ibunya, Florenda Macaraig Echivarre di Cebu, Filipina terus dilindungi Allah SWT.

"Sekarang, saya rindu sangat dengan ibu dan sedih tak dapat lagi menziarahinya di Filipina. Kalau dahulu, saya kerap balik ke sana melawat ibu setiap kali ada kelapangan masa.

"Tapi, kali ini sudah lama sangat saya tak dapat balik ziarah ibu dan ahli keluarga yang lain. Kami hanya bertanya khabar melalui panggilan telefon dan perasaannya tidak sama seperti bila dapat berjumpa.

"Memandangkan wabak Covid-19 masih melanda, saya tahu di negara ini pun ramai orang tak boleh balik ke kampung untuk melawat ibu bapa dan saudara mara masing-masing," katanya.

MARK bersama isteri, Norazah Redzuan tubuh perniagaan berteras pembelajaran muzik, Suara Akademi sejak tiga tahun lalu. FOTO Instagram Mark Adam
MARK bersama isteri, Norazah Redzuan tubuh perniagaan berteras pembelajaran muzik, Suara Akademi sejak tiga tahun lalu. FOTO Instagram Mark Adam

Menurut Mark, apa yang pasti dia tetap risau memikirkan keselamatan dan keadaan ibunya bersama ahli keluarga lain di Filipina. Katanya, kini keadaan kehidupan sudah banyak berubah.

Ujarnya lagi, dia juga sentiasa berpesan kepada ibu tersayang supaya menjaga diri dengan duduk di rumah dan tidak perlu keluar ke mana-mana jika tiada urusan penting.

Mark yang baru-baru ini tampil mengulas isu bayaran belum diterima selepas dia terbabit teater Korupsi Dewan Semandung di Istana Budaya (IB) pada 28 Februari hingga 1 Mac lalu, mengharapkan penerbit iaitu Fauziah Ahmad Daud atau Ogy dapat menyelesaikannya segera.

"Nak cakap lebih pun, perkara sudah berlaku. Urusan kerja untuk teater itu, sudah lama saya selesaikan. Malah, saya bersama barisan pelakon dan tenaga kerja yang lain tetap komited dengan tanggungjawab kami.

"Kini, penerbit pula harus membuktikan tanggungjawabnya berusaha mencari sumber kewangan untuk membuat pembayaran tertunggak kepada kami," katanya yang sudah dibayar 30 peratus.

Ditanya mengenai tindakan undang-undang, Mark berkata dia belum terfikir ke arah itu. Jelasnya, memandangkan sekarang masih PKPB, dia yakin perlu memberi masa kepada Ogy.

IBU Mark, Florenda Macaraig Echivarre yang berada di Cebu, Filipina. FOTO Instagram Mark Adam
IBU Mark, Florenda Macaraig Echivarre yang berada di Cebu, Filipina. FOTO Instagram Mark Adam

"Prinsip saya mudah, apabila urusan kerja sudah dibuat sepenuhnya secara jujur, maka penerbit pun kena sedia maklum membuat pembayaran kepada semua pihak yang berkenaan dalam produksi itu.

"Saya pun pada awalnya menerima tawaran berlakon teater terbabit kerana kerjaya seni adalah sumber pendapatan untuk kelangsungan hidup. Saya tak terfikir akan terjadi perkara seperti ini.

"Ia adalah pengalaman pertama saya terbabit dengan pementasan teater dan tidak mendapat bayaran penuh. Apapun, dalam situasi sekarang saya lebih melihat yang positif," katanya.

Ujar Mark, apa yang pasti dia enggan mengeruhkan keadaan. Katanya, industri hiburan di Malaysia pun tidaklah besar dan hubungan baik sesama penggiat seni yang dipupuk perlu dijaga sebaik mungkin.

Fokus pada Suara Akademi

Mark yang memeluk agama Islam pada 2002 dan bertemu jodoh dengan Norazah Redzuan, kini mendapat kerjasama isterinya menubuhkan Suara Akademi sejak 2017 lalu.

Sudah tiga tahun membina perniagaan berteraskan pembelajaran muzik seperti kelas vokal, bermain peralatan muzik dan penciptaan lagu, ia diakui Mark semakin dikenali ramai.

"Alhamdulillah, setakat ini Suara Akademi sudah memiliki ramai pelajar dan tenaga pengajar yang cukup. Saya bersyukur apa yang diusahakan bersama isteri ini membuahkan hasil.

"Perniagaan ini adalah sebagai salah satu jaminan masa depan kami sekeluarga. Walaupun kerjaya seni saya masih diterima baik, tetapi perancangan lain kena ada," katanya.

Gembira mendapat sokongan padu daripada isteri dan keluarga, Mark berkata, dia seronok dapat berkongsi segala ilmu dimilikinya kepada mereka yang sangat meminati muzik dan nyanyian.

Ujarnya, dia juga tidak sangka Suara Akademi ditubuhkan dapat menarik perhatian masyarakat penggemar muzik di negara ini. Katanya dia berharap pelajar dari Suara Akademi akan berjaya mengejar cita-cita diimpikan dalam kerjaya seni mereka.

FOKUS pada Suara Akademi. FOTO Aziah Azmee
FOKUS pada Suara Akademi. FOTO Aziah Azmee

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Mei 2020 @ 6:00 AM