DATUK Dr Noor Hisham Abdullah. FOTO NSTP
DATUK Dr Noor Hisham Abdullah. FOTO NSTP
Mohd Firdaus Ibrahim dan Raja Noraina Raja Rahim


SATU kematian berkaitan jangkitan Covid-19 dilaporkan kepada Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC), setakat 12 tengah hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia menjadikan jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia kekal sebanyak 113 kes.

Beliau turut memaklumkan sehingga 12 tengah hari, terdapat 17 kes baharu yang dilaporkan dengan lima kes adalah dalam kalangan bukan warga negara Malaysia.

Katanya, jumlah kes positif Covid-19 di negara ini adalah sebanyak 6,872 kes dan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 1,247 kes.

"Sehingga kini, seramai 13 kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU). Daripada jumlah itu, lima kes memerlukan bantuan pernafasan," katanya pada sidang media harian di Putrajaya, hari ini.

Mengulas mengenai kes kematian itu, Noor Hisham berkata, kes kematian ke-113 (kes ke-6856) membabitkan wanita warga Malaysia berusia 53 tahun.

"Beliau mempunyai sejarah penyakit barah dan darah tinggi. Beliau adalah seorang kakitangan perubatan KKM di Sabah (namun telah bercuti sakit disebabkan barah). Beliau dimasukkan ke Hospital Wanita dan Kanak-kanak Sabah, Likas pada 5 Mei lalu disebabkan kesihatan beliau yang semakin merosot sebelum didapati positif Covid-19 dan disahkan meninggal dunia pada 7 Mei jam 1.30 petang," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Mei 2020 @ 4:46 PM