AKUI tidak salah jadi pelik.
AKUI tidak salah jadi pelik.
Georgie Joseph

KIAN menjadi sebutan dalam industri muzik tempatan, penyanyi rap muda Yonnyboii sememangnya memiliki aura tersendiri.

Paling mengagumkan ramai, tentu sekali bakat berkaryanya yang penuh dengan sentuhan segar.

Yonnyboii atau nama sebenarnya Muhammad Haqeem Nuriman Nor Azrin, 22, mengakui pendedahan muzik pada usia terlalu muda antara yang paling disyukurinya.

Berbekalkan kesungguhan mendalami muzik, kini dia mengecap impian bergelar insan seni.

Dia juga tidak pernah menyangka karier muziknya mendapat sokongan luar biasa.

Baginya, dia masih merasakan dirinya kerdil dan baru saja berjinak-jinak dengan muzik seperti zaman kecilnya.

"Semua ini saya memang tidak jangka. Apa yang berlaku sekarang bermula dengan minat. Ketika kecil dulu lagu menjadi peneman saya. Dulu saya tinggal dengan opah. Setiap kali emak balik kampung dia selalu ada kaset baru yang boleh dipasang di radio.

"Saya juga memiliki diari untuk melukis dan menulis segala luahan perasaan. Tidak kisah gembira atau sedih. Semuanya ditulis dan menjadikan ia lagu. Dari situ saya secara perlahan-lahan tulis lagu, tapi belum pandai main alat muzik.

"Ketika berusia 12 tahun, emak menghadiahkan saya gitar disebabkan saya kata apabila dewasa nak jadi 'rockstar'. Sedikit demi sedikit saya belajar di YouTube cara nak rakam lagu dan mula serius menghasilkan lagu hip hop pada 2016," katanya.

Mula terjun dalam bidang muzik secara profesional pada 2016, Yonnyboii menggunakan lagu sebagai medium bercerita mengenai dirinya.

Baginya, pendekatan itu membuatkan kreativitinya lebih bercambah.

Justeru, dia turut menggunakan pendekatan sama menerusi lagu terbaru yang dilancarkannya berjudul Aku Itu Aku.

Tanpa berselindung, dia ingin membongkar sisi dirinya menerusi lagu berkenaan.

"Saya selalu merasakan saya ini budak pelik dan saya anggap diri begitu ke mana saja saya pergi. Ini juga antara punca saya menjadi anti sosial disebabkan menyedari ada orang tidak menyukai saya selain menjadi mangsa bahan senda mereka.

YONNYBOII lancar lagu Aku Itu Aku sebagai hadiah hari jadi.
YONNYBOII lancar lagu Aku Itu Aku sebagai hadiah hari jadi.

"Saya cuma ingin sampaikan bahawa setiap orang menyimpan kesakitan dalam pada meningkatkan diri dalam hidup. Saya pasti menerusi lagu ini orang dapat kaitkan dalam diri masing-masing," katanya.

Komposer yang turut mencipta lagu Jangan Keluar itu berkata, lagu baharunya secara tidak langsung membuatkan masyarakat lebih tahu dan mengenali personaliti sebenar dirinya.

"Saya cuma nak cakap, tak ada masalah pun kalau nak menjadi pelik dan itu bukan satu kesalahan langsung kerana kita menjadi diri sendiri. Kenapa nak kena berselindung dan sakitkan diri?" katanya.

Yonnyboii berkata, lagu terbabit juga adalah eksperimen dirinya dalam menyuntik kekuatan tersendiri dalam muziknya.

"Untuk muzik kali ini saya cuba bereksperimen dengan menggabungkan elemen R&B dan rock. Saya cuba lari sedikit daripada elemen kebiasaan R&B hip hop dan menyuntik bunyi rock alternatif pula.Yang pasti, gubahan lagu ini sangat berbeza daripada lagu saya sebelum ini," katanya.

Apa yang menarik, Yonnyboii turut memilih untuk melancarkan lagu itu hari ini bersempena meraikan ulang tahun kelahirannya.

Katanya, lagu itu menggambarkan perasaan dan cabaran menghadapi ujian dunia selain hadiah untuk diri sendiri.

"Lagu ini saya lancarkan hari ini sebagai hadiah hari jadi buat diri sendiri. Saya mahukan lagu ini jadi kenangan dan peringatan untuk diri saya yang semakin meningkat usia, tapi nilai diri masih sama.

"Saya juga ingin berkongsi kenapa selama ini orang menilai saya pelik sehingga dihakimi dan disalah erti. Sebenarnya, saya mempunyai penyakit Attention Deficit Hyperactive Disorder (ADHD) atau sindrom kurang daya tumpuan dan hiperaktif.

"Jadi, terjawab kenapa saya berkelakuan berasa seperti orang buangan dan sebagainya. Tapi, pada masa sama mengingatkan diri yang saya adalah normal cuma sedikit istimewa. Saya cuma nak perbetulkan apa yang orang sering cakap semua manusia tak sempurna," katanya.

Selain menghasilkan lagu sendiri, Yonnyboii turut mencuri perhatian apabila beberapa lagu ciptaannya untuk penyanyi lain turut meledak seperti Sakit nyanyian bersama Zynakal yang juga rakan seangkatan.

Berikutan pandemik Covid-19, penyanyi ini tampil mencipta lagu berjudul #JANGANKELUAR.

Lagu berkenaan adalah hasil kerjasama 16 penyanyi yang bernaung di bawah syarikat rakaman Universal Music Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Mei 2020 @ 6:00 AM