X
USAHA KAFA mengemukakan rayuan kepada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa) membabitkan isu tuntutan Casio Francisco de Jesus (kanan) boleh memakan diri sendiri kerana tidak mengikut prosedur sepatutnya. FOTO Arkib NSTP
USAHA KAFA mengemukakan rayuan kepada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa) membabitkan isu tuntutan Casio Francisco de Jesus (kanan) boleh memakan diri sendiri kerana tidak mengikut prosedur sepatutnya. FOTO Arkib NSTP
Syazwan Msar

SEGALA talian hayat untuk pengurusan Persatuan Bolasepak Kelantan (Kafa) seolah-olah sudah tertutup apabila tindakan badan induk bola sepak negeri itu mengemukakan rayuan kepada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa) membabitkan isu tuntutan Casio Francisco de Jesus mungkin boleh menjadi 'cubaan' yang sia sia.

Malah, tindakan terbabit boleh menyebabkan Kafa menanggung lebih banyak kerugian apabila perlu membayar beberapa caj lain pada masa akan datang.

Perkara terbabit didedahkan peguam kepada Casio, Zhafri Aminurrashid yang berkata pemfailan rayuan Kafa kepada Mahkamah Timbang Tara Sukan (Cas) didapati tidak mengikut prosedur sepatutnya, sekali gus berkemungkinan besar rayuan mereka akan ditolak.

Malah, tindakan itu juga boleh 'memakan diri' Kafa di mana mereka bukan sahaja tidak berjaya mendapatkan penangguhan, namun perlu bersedia mengeluarkan lebih banyak kos selepas ini.

"Kafa ada hak untuk merayu, tetapi mereka perlu bayar 1000 swiss francs (RM4,481) sebagai kos pendahuluan dan Cas boleh bagi penangguhan, namun prosedur pemfailan rayuan Kafa salah. Rayuan mereka pun tiada merit.

"Apabila tidak ikut prosedur, rayuan itu akan ditolak dan selepas ditolak, keputusan Fifa adalah muktamad. Sebab sudah melepasi 21 hari untuk buat rayuan, mereka perlu selesaikan juga tuntutan itu seperti diarahkan," katanya.

Pada masa sama, Zhafri menegaskan penangguhan tuntutan Casio hanya boleh dilakukan pemain itu namun pintu rundingan 'tertutup' selepas Kafa membawa kes terbabit kepada Cas.

"Kafa tidak pernah meminta penangguhan malah tidak pernah menjawab apa-apa surat kami berkaitan kes ini.

"Sepatutnya mereka hubungi saya sebagai peguam Casio untuk meminta penangguhan. Memang kami pada mulanya tiada masalah untuk beri lebih masa tetapi selepas Kafa memfailkan rayuan kepada Cas, Casio tidak lagi mahu berbincang dengan mereka.

"Kami akan bantah rayuan terbabit untuk diterima oleh Cas. Kami akan lawan sehabis baik dan Kafa perlu bersedia untuk bayar lebih lagi," katanya.

Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kafa, Ahmad Muzakkir Hamid menjelaskan pihaknya sudah memfailkan rayuan untuk mengenepikan dan membatalkan keputusan Fifa membabitkan isu Casio kepada Cas.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Mei 2020 @ 6:30 AM