Shamran Sarahan dan Amir Abd Hamid dan Raja Noraina Raja Rahim


JUMLAH kumulatif kes pulih sepenuhnya daripada jangkitan Covid-19 dalam negara terus meningkat kepada 5,706 kes dengan kadar kesembuhan 81.4 peratus, hari ini.

Peningkatan itu susulan pertambahan 60 lagi kes pulih dan dibenarkan discaj daripada fasiliti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) selain melebihi bilangan kes baharu yang dilaporkan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, sehingga 12 tengah hari ini, 31 kes baharu jangkitan Covid-19 dilaporkan dan merekodkan 7,009 kes keseluruhan dalam negara.

Beliau berkata, daripada 31 kes baharu yang dilaporkan itu, 10 adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara.

Katanya, baki 21 kes lagi berkaitan penularan tempatan dengan 10 daripadanya membabitkan jangkitan dalam kalangan bukan warga Malaysia.

DR Noor Hisham semasa sidang media harian berkaitan jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan, Putrajaya. FOTO Luqman Hakim Zubir
DR Noor Hisham semasa sidang media harian berkaitan jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan, Putrajaya. FOTO Luqman Hakim Zubir

"Daripada keseluruhan kes itu, kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 membabitkan 1,189 kes dan mereka sudah diasingkan serta diberi rawatan.

"Sehingga kini, 11 kes positif Covid-19 dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), tujuh daripadanya memerlukan bantuan pernafasan," katanya pada sidang media harian berkaitan Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata, tiada kematian berkaitan jangkitan Covid-19 dilaporkan kepada Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC), setakat 12 tengah hari ini.

Katanya, ia menjadikan jumlah kumulatif kes kematian akibat jangkitan wabak berkenaan dalam negara ketika ini kekal 114 kes, 1.63 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Mei 2020 @ 4:44 PM