Shamran Sarahan dan Amir Abd Hamid dan Raja Noraina Raja Rahim


KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) dalam usaha mengesan kontak rapat wanita mengandung dari Kuala Krai, Kelantan yang disahkan positif Covid-19 selepas pulang ke kampung halaman untuk bersalin anak kedua.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pihaknya akan mengambil tindakan lanjut dan akan mengenal pasti sama ada wanita itu mendapat jangkitan di kawasan zon merah atau sebaliknya.

Beliau berkata, wanita (berusia 30-an) yang mengandung 35 minggu dari Ampang, Kuala Lumpur balik ke kampung (Kampung Sungai Durian, Kuala Krai pada 15 Mei lalu) untuk bersalin di sana.

DR Noor Hisham. FOTO Arkib NSTP
DR Noor Hisham. FOTO Arkib NSTP

Bagaimanapun, katanya, apabila ujian saringan dijalankan di sebuah klinik kesihatan, wanita itu didapati positif Covid-19.

"Sekarang ini, wanita itu telah diasingkan dan diberi rawatan. Apa yang pasti kita sedang menjalankan tindakan seterusnya untuk kenal pasti kontak rapat.

"Kita akan melihat kepada sama ada jangkitan yang itu didapati di kawasan zon merah atau sebaliknya, jadi kita menjalankan siasatan dan bila kita dah ada keputusan, ia akan dimaklumkan," katanya ketika sidang media harian Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Mei 2020 @ 5:05 PM