X
KAFA rayu bantuan jutawan Kelantan bayar tunggakan gaji Cassio Francisco De Jesus. FOTO Arkib NSTP
KAFA rayu bantuan jutawan Kelantan bayar tunggakan gaji Cassio Francisco De Jesus. FOTO Arkib NSTP
Syazwan Msar

BERBAKI tiga hari dengan wang terkumpul hanya kira-kira RM13,000 mendorong Persatuan Bolasepak Kelantan (Kafa) merayu jutawan dan hartawan dari negeri Cik Siti Wan Kembang itu menghulurkan bantuan bagi membayar tunggakan gaji pemain import berjumlah lebih RM600,000.

Tabung yang dilancarkan Kafa sejak 9 Mei lalu dilihat kurang mendapat sambutan terutama daripada individu bergelar jutawan atau hartawan Kelantan untuk membantu meringankan bebanan hutang persatuan terbabit.

Setiausaha Agung Kafa, Hussin Deraman memaklumkan pihaknya ada menghubungi beberapa individu berpengaruh dan bergelar jutawan supaya dapat menghulurkan sumbangan bagi membayar tunggakan gaji berkenaan.

Beliau berkata, setakat ini maklum balas yang diterima agak mengecewakan malah ada antara mereka tidak berminat untuk membantu menyelamatkan bola sepak Kelantan daripada terus berkubur jika gagal membayar hutang terbabit.

Katanya, apa yang boleh dilakukan sekarang ini adalah berharap keputusan Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) memihak kepada Kafa dengan memberikan penangguhan sementara pembayaran itu.

"Sejujurnya saya beritahu setakat ini sumbangan daripada individu jutawan atau hartawan kurang malah apabila kita berjumpa mereka mengharapkan dapat membantu namun sehingga hari ini tidak memberikan maklum balas.

"Saya akui memang Kelantan terkenal dengan ramai jutawan dan usahawan namun jika mereka tidak mahu menghulurkan sumbangan, Kafa tidak boleh paksa kerana itu adalah hak masing-masing.

"Sememangnya Kafa ketika ini melalui situasi sukar dan akan meneruskan kutipan derma bagi memastikan dapat mengumpul jumlah yang diperlukan untuk membayar hutang itu," katanya, semalam.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kafa, Ahmad Muzakkir Hamid memaklumkan setakat ini tabung terbabit berjaya mengumpul kira-kira RM13,000 menerusi sumbangan orang ramai secara dalam talian.

Sebelum ini, bagi menyelamatkan masa depan bola sepak di bumi Kelantan daripada berkubur, Kafa terpaksa memohon sumbangan orang ramai khususnya penyokong setia skuad The Red Warriors.

Kutipan sumbangan itu bagi membayar tunggakan gaji bekas pemain importnya, Cassio Francisco De Jesus RM629,620.28 dalam tempoh sebulan yang akan berakhir pada 23 Mei ini, seperti diarahkan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Mei 2020 @ 6:30 AM