Isma Ismail dan Sri Ayu Kartika Amri dan Yusmizal Dolah Aling


KERAJAAN tidak benarkan lagi perjalanan rentas negeri dan orang ramai tidak perlu lagi ke balai polis untuk membuat permohonan.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan sudah bersetuju tidak membuka peluang lagi untuk perjalanan rentas negeri.

"Mulai hari ini juga, kenderaan yang diarahkan berpatah balik ketika cuba rentas negeri akan dikompaun.

"Kita semua sedia maklum, semalam seorang perempuan positif Covid-19 akibat daripada rentas negeri.

"Oleh itu, sudah tidak ada kompromi dan tidak ada tolak ansur mengenai rentas negeri," katanya ketika sidang media hariannya di Putrajaya hari ini.

Foto hiasan
Foto hiasan

Menurutnya, sebanyak 2,412 kenderaan diarahkan berpatah balik kerana cuba rentas negeri untuk pulang ke kampung semalam.

Katanya, minat orang ramai untuk pulang ke kampung pada Aidilfitri masih tidak berubah.

"Kita sudah nasihat, sudah beri peringatan supaya tidak melakukan rentas negeri pada perayaan Aidilfitri ini tetapi masih ada yang cuba berbuat demikian.

"Kita terima laporan seramai 1,300 orang berkumpul di IPD (Ibu Pejabat Polis Daerah) Kuantan untuk mohon rentas negeri.

"Kita sudah putuskan tiada lagi rentas negeri dan polis tidak akan memberi kebenaran lagi...tak payah lagi beratur panjang-panjang," katanya.


  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Mei 2020 @ 2:26 PM