Saipul Adli Mohamad dan Sri Ayu Kartika Amri dan Ekhwan Haque Fazlul Haque


SAMBUTAN Aidilfitri bagi 'lelaki jaket hitam' ketika negara dilanda Covid-19, ketika ini tidak banyak berbeza seperti tahun sebelumnya.

Berkongsi rutin sambutan Aidilfitri dijangka pada hujung minggu ini, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, dia akan meraikan Syawal bersama anggota barisan hadapan di hospital.

Menurutnya, usai solat sunat Aidilfitri di rumah kelak, dia akan melawat kakitangan barisan hadapan yang perlu bertugas di hospital pada hari raya nanti.

"Setiap tahun sebelum ini, saya sambut raya di hospital pada hari raya pertama dan akan pergi hospital untuk bertemu kakitangan barisan hadapan.

"Raya tahun ini tidak ada beza kerana mungkin akan solat raya di rumah dan pergi ke hospital untuk bersama dengan kakitangan kesihatan," katanya dalam sidang media harian Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

Dr Noor Hisham dalam sidang media sebelum ini memaklumkan pelepasan cuti raya yang diberikan adalah berdasarkan jumlah kes dan keadaan terkini Covid-19.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai agar terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Kementerian Kesihatan (KKM) sepanjang sambutan Aidilfitri ini.

"Sambutan Aidilfitri tahun ini pastinya berbeza daripada tahun sebelum ini, namun ia tetap diraikan dengan semangat sama.

"Malah, sambutan di rumah sendiri bersama ahli keluarga mungkin dapat memberi makna baharu kepada kita semua kerana berpuasa ketika penularan wabak Covid-19 mengajar kita semua erti kesabaran dan pengorbanan," katanya.

Beliau berkata, lebih baik terus berada di rumah sendiri dan elak kunjung mengunjung bagi menghalang penularan wabak terutama kepada warga emas, kanak-kanak dan bayi.

DR Noor Hisham. FOTO Arkib NSTP
DR Noor Hisham. FOTO Arkib NSTP

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Mei 2020 @ 5:35 PM