ANGGOTA polis menahan kereta dinaiki empat lelaki yang cuba merentas negeri di LPT2 dekat Perasing.
ANGGOTA polis menahan kereta dinaiki empat lelaki yang cuba merentas negeri di LPT2 dekat Perasing.


SELEPAS berjaya melepasi tiga sekatan jalan raya (SJR) menggunakan surat tawaran kerja palsu, empat lelaki kantoi apabila ditahan dalam cubaan rentas negeri di Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2), dekat Perasing, Chukai, kelmarin.

Mereka yang berusia antara 20 hingga 37 tahun itu dikatakan dari Selangor dan cuba pulang ke kampung di Besut dan Kelantan ditahan jam 9.15 pagi ketika menaiki sebuah Proton Persona warna hitam.

Ketua Polis Daerah Kemaman Superintendan Hanyan Ramlan berkata, sepasukan pegawai dan anggota melakukan pemantauan dan bertugas di SJR antara negeri itu menahan kereta terbabit sebelum meminta surat kebenaran rentas negeri yang dikeluarkan pihak polis.

Menurutnya, mereka mendakwa tidak mempunyai surat kebenaran terbabit dan siasatan mendapati pemandu kereta yang berusia 37 tahun itu mengaku dia bertugas menghantar tiga lelaki berkenaan ke Besut dan Kelantan.

"Pemandu terbabit mengaku menerima upah RM350 untuk menghantar tiga lelaki terbabit dan mengaku ditunjukkan surat tawaran bekerja daripada tiga lelaki itu sebagai alasan perjalanan mereka.

"Anggota polis memeriksa surat tawaran terbabit dan selepas membuat semakan lanjut mendapati alamat tempat kerja tertera pada surat itu tidak wujud," katanya ketika dihubungi semalam.

Hanyan berkata, semua mereka mengaku surat terbabit adalah surat palsu dan dibuat abang kepada rakan mereka.

"Mereka mendakwa berjaya melepasi tiga SJR di Kajang, Gombak dan Bentong menggunakan surat tawaran bekerja terbabit," katanya.

Menurutnya, pihaknya mengeluarkan kompaun dan mereka diarah berpatah balik.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Mei 2020 @ 6:40 AM