MOHD Fadly  bersama keluarganya melakukan latihan untuk mendirikan solat sunat Aidilfitri esok.
MOHD Fadly bersama keluarganya melakukan latihan untuk mendirikan solat sunat Aidilfitri esok.
Muhammad Saufi Hassan


"APABILA agensi berkaitan mengumumkan tiada solat sunat Aidilfitri secara berjemaah, saya terus membuat rujukan dan bertanya kepada ustaz berhubung aturan solat sunat berkenaan.

"Mungkin ada orang cakap...ia hanya solat sunat, buat apa nak sungguh-sungguh. Saya berfikir sebaliknya, ini peluang kita sebagai ketua keluarga, cuba kita kira berapa kali sepanjang hayat, kita mengimamkan solat sunat Aidilfitri," kata Mohd Fadly Daud, 42, yang tidak sabar untuk mengimamkan solat sunat Aidilfitri bersama keluarganya.

Mohd Fadly antara ramai kalangan bapa yang kini boleh dianggap 'pakar' sebagai imam walaupun pada awalnya umpama 'imam terjun' bagi solat sunat Tarawih namun ia adalah hikmah besar di sebalik wabak yang sedang melanda dunia.

Jika petugas kesihatan dikategorikan sebagai 'petugas barisan depan' untuk mendepani wabak Covid-19, ketua keluarga yang bersama-sama mengimarahkan ibadat sepanjang Ramadan juga boleh dikategorikan sebagai 'barisan depan' sebagai imam di rumah bersama keluarga serta anak-anak.

Mohd Fadly berkata, sepanjang Ramadan, dia dan keluarga tidak pernah tinggal solat sunat Tarawih berjemaah, malah turut melaksanakan solat fardu bersama-sama dan dia mengakui mempunyai lebih banyak masa dengan keluarga.

"Mula-mula memang risau namun selepas banyak kali mengimamkan solat waktu, saya jadi yakin untuk menjadi imam Tarawih. Sebelum ini pun saya sering menjadi imam untuk keluarga cuma untuk Tarawih, ia berbeza sedikit kerana ada selawat dan aturan tertentu.

"Isteri dan anak juga gembira kerana tidak perlu lagi solat sunat Tarawih bersendirian dan kali ini, kami akan mendirikan solat sunat Aidilfitri. Alhamdulillah, tanpa disangka, banyak hikmah yang kita peroleh," katanya.

Berkaitan solat sunat Aidilfitri, katanya, dia sudah berkali-kali melakukan 'ulang kaji' berhubung aturan serta rukun solat termasuk kaedah melakukannya selain menghubungi beberapa pakar agama untuk rujukan.

"Kali ini, biar saya selaku ketua keluarga jadi imam, ia pasti lebih berkat malah mungkin lepas ini tidak akan ada peluang seperti ini lagi.

"Ini waktu terbaik ketua keluarga untuk menjadi imam solat Aidilfitri dan mungkin juga memori sepanjang hayat," katanya.

Sementara itu, pendakwah, Mohd Taufik Che Age, 29, berkata, dia turut akan melaksanakan solat sunat Aidilfitri bersama keluarga.

"Kebetulan, jumlah ahli keluarga saya besar dan saya tinggal bersama mereka. Jadi kita sudah buat aturan siapa yang akan takbir pertama, kedua, ketiga dan seterusnya.

"Matlamat saya ialah untuk membawa suasana sama seperti di masjid.

"Insya-Allah, kita juga akan membaca khutbah mengikut kesesuaian. Ini peluang yang baik untuk kita melaksanakan tanggungjawab yang jarang diperoleh," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Mei 2020 @ 6:45 AM