LOKASI kemalangan jalan raya selepas motosikal yang dinaiki dua sepupu terbabas sebelum merempuh tiang elektrik. FOTO ihsan pembaca
LOKASI kemalangan jalan raya selepas motosikal yang dinaiki dua sepupu terbabas sebelum merempuh tiang elektrik. FOTO ihsan pembaca
Siti Rohana Idris


DUA sepupu maut dalam kemalangan selepas motosikal yang ditunggangi terbabas dan merempuh tiang elektrik, hari ini.

Dalam kejadian di Kampung Jubakar Darat kira-kira 5 pagi tadi, Shahriman Yusof, 19, dan Aiman Saifuddin Zakaria, 18 meninggal dunia di lokasi kejadian.

Bapa Shahriman, Yusof Awang, 46, berkata, anaknya itu keluar dari rumah mereka di Kampung Jejulok kira-kira 12 tengah malam tadi bersama sepupunya untuk ke rumah rakan mereka di Chabang Empat.

"Saya sempat menegurnya yang nampak agak tergesa-gesa dan bertanya ingin ke mana sebelum dia menjawab ingin ke rumah rakan bersama sepupunya yang sudah menunggu.

"Saya cuma berpesan kepadanya agar menunggang motosikal dengan berhati-hati dan pulang awal," katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Tumpat, hari ini.

Yusof berkata, dia menerima panggilan telefon daripada seorang rakan tidak lama kemudian memaklumkan kejadian yang menimpa anak kedua daripada tujuh beradik itu dan dipercayai mereka dalam perjalanan pulang ke rumah untuk bersahur.

Dia yang pada awalnya menyangka anaknya itu hanya mengalami kecederaan sahaja segera bergegas ke lokasi dan sebaik tiba dia dimaklumkan yang dua sepupu itu sudah meninggal dunia.

"Mereka berdua sangat rapat dan bukan hanya ke mana-mana bersama tapi bekerja juga di sebuah kedai runcit yang sama malah 'pergi' juga bersama.

"Kejadian ini sangat memilukan kami sekeluarga memandangkan esok umat Islam akan menyambut Aidilfitri namun kami reda dengan ketentuan ini," katanya sambil memberitahu jenazah dua sepupu itu akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Geting sebaik proses bedah siasat selesai.

YUSOF menunjukkan gambar anaknya, Shahriman, 19, yang maut dalam kemalangan bersama sepupunya, Aiman. FOTO Siti Rohana Idris
YUSOF menunjukkan gambar anaknya, Shahriman, 19, yang maut dalam kemalangan bersama sepupunya, Aiman. FOTO Siti Rohana Idris

Sementara itu, pemilik kedai runcit yang Ghazali Isa, 63, berkata dua pekerjanya itu rajin dan tidak pernah menimbulkan masalah sepanjang bekerja dengannya.

"Malam tadi saya sempat memberikan duit raya kepada mereka sebanyak RM100 setiap seorang selain semua pekerja yang lain.

"Pagi ini saya menerima khabar duka pula mengenai kemalangan maut yang menimpa mereka dan rasa sangat terkejut dengan kejadian itu," katanya.

Ketua Polis daerah Tumpat, Superintendan Ab Rashid Mat Daud, mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Mei 2020 @ 12:02 PM