GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Noor Atiqah Sulaiman


SEBUAH hospital swasta di Kuala Lumpur dikenakan kompaun sebanyak RM200,000 kerana menjual pelitup muka tiga lapisan pada harga melebihi harga maksimum ditetapkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

KPDNHEP dalam satu kenyataan semalam berkata, pihak hospital swasta di ibu kota itu didapati melakukan kesalahan mengikut Seksyen 11, Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011.

Katanya, pihak KPDNHEP sebelum ini mengesan isu yang tular di laman Facebook berhubung seorang pesakit yang menerima rawatan di sebuah hospital swasta.

"Pesakit itu dikenakan caj sebanyak RM201.60 bagi 18 pelitup muka tiga lapisan yang digunakan oleh jururawat ketika merawat anak beliau.

"Jumlah berkenaan bersamaan 11.20 sekeping sedangkan harga maksimum yang ditetapkan kerajaan adalah RM1.50 sekeping.

"Bertindak atas aduan berkenaan pada 13 Mei lalu, sepasukan pegawai penguat kuasa KPDNHEP melakukan pemeriksaan ke atas hospital itu dan menyoal siasat pengurusan hospital.

"Pasukan serbuan turut merampas sejumlah dokumen termasuk pelitup muka tiga lapisan yang sama jenis daripada hospital berkenaan untuk tujuan siasatan," katanya semalam.

Dalam pada itu, menerusi kenyataan yang sama KPDNHEP berkata, sekiranya kompaun berkenaan gagal dibayar dalam masa yang ditetapkan, pihak hospital akan dituduh di mahkamah.

"Penalti bagi kesalahan ini adalah mengikut Seksyen 18, AKHAP 2011 di mana bagi suatu pertubuhan perbadanan yang melakukan kesalahan, didenda tidak melebihi RM500,000.

"Bagi kesalahan kali yang kedua atau berikutnya, boleh didenda tidak melebihi RM1,000,000. KPDNHEP serius dalam memastikan bekalan pelitup muka mudah diperoleh pada harga yang tidak melebihi penentuan harga maksimum yang ditetapkan.

"Selain itu, semua pihak yang menjual barangan harga terkawal supaya sentiasa prihatin dan mematuhi semua peraturan dan undang-undang yang ditetapkan oleh kerajaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Mei 2020 @ 1:34 PM