ANGGOTA polis melakukan pemeriksaan dari rumah ke rumah di sekitar daerah Kangar. FOTO Dziyaul Afnan Abdul Rahman
ANGGOTA polis melakukan pemeriksaan dari rumah ke rumah di sekitar daerah Kangar. FOTO Dziyaul Afnan Abdul Rahman
Dziyaul Afnan Abdul Rahman


POLIS melakukan pemeriksaan dari rumah ke rumah di daerah Kangar, hari ini bagi memastikan tiada individu merentas negeri menggunakan laluan tikus untuk pulang ke kampung bagi sambutan Aidilfitri.

Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Wari Kiew berkata, sebanyak 25 rumah diperiksa bermula 8 pagi hingga 2 petang tadi.

Katanya, rata-rata penduduk terkejut apabila melihat kehadiran beberapa pegawai dan anggota mengunjungi beberapa rumah untuk pemeriksaan kerana disyaki melanggar syarat dan prosedur operasi standard (SOP).

"Pemeriksaan mengejut ini akan diteruskan sepanjang hari raya Aidilfitri bagi memastikan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) terus dipatuhi.

"Setakat ini tiada notis kompaun dikeluarkan, namun kita menasihati orang ramai supaya tidak memandang ringan arahan dikeluarkan," katanya.

Sementara itu, tinjauan mendapati jumlah kenderaan di beberapa kawasan seolah-olah bertambah berbanding kebiasaannya.

Selain itu, pemeriksaan turut dilakukan di beberapa pasar tumpuan ramai bagi membeli persiapan menyambut Aidilfitri, esok.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Mei 2020 @ 4:43 PM