Saipul Adli Mohamad; Raja Noraina Raja Rahim dan Ekhwan Haque Fazlul Haque


"RAIKANLAH Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini dengan keluarga di rumah masing-masing," kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata, jika sebelum ini masyarakat biasa dengan perayaan secara terbuka, tetapi tahun ini, mereka diminta meraikannya dengan cara tertutup di rumah dengan ahli keluarga.

Katanya, bukan saja Malaysia, tetapi seluruh dunia akan sama-sama meraikan Aidilfitri dengan cara berbeza.

"Khuatir dengan risiko penularan jangkitan Covid-19 di kalangan masyarakat pada Aidilfitri, kerajaan di pelbagai negara yang terkesan dengan pandemik itu mengambil pelbagai pendekatan berbeza dalam membenarkan umat Islam meraikan perayaan Aidilfitri dengan cara selamat.

AMRINA Rusyadaa, 19, bersama Nur Amni Syakirah, 17, memakaikan pelitup muka serta menyembur pensanitasi tangan kepada adiknya, Mohammad Nur Fadhlan, 12, dan Nur Amisya Aufa, 14, ketika menyambut Aidilfitri dalam suasana Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB). FOTO MOHD FADLI HAMZAH
AMRINA Rusyadaa, 19, bersama Nur Amni Syakirah, 17, memakaikan pelitup muka serta menyembur pensanitasi tangan kepada adiknya, Mohammad Nur Fadhlan, 12, dan Nur Amisya Aufa, 14, ketika menyambut Aidilfitri dalam suasana Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB). FOTO MOHD FADLI HAMZAH

"KKM ingin mengingatkan masyarakat bahawa Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam prosedur operasi standard (SOP) perayaan menyatakan jumlah ahli keluarga tidak boleh melebihi 20 orang pada satu hari, namun tertakluk kepada keluasan ruang rumah.

"Pastikan terdapat penjarakan sosial dan kebersihan diri sentiasa diamalkan," katanya dalam sidang media harian Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia menasihatkan masyarakat untuk menangguhkan ziarah keluarga lain dan rakan serta mengelak menziarahi kubur.

Katanya, ia termasuk perjalanan merentas negeri yang mungkin boleh mengakibatkan penularan ke kawasan lain terutama ke zon hijau.

Beliau berkata, masyarakat perlu mengambil iktibar daripada kluster Pengerang apabila penyebaran virus berlaku akibat merentas negeri dan sub-kluster Rembau apabila penyebaran jangkitan didapati berlaku akibat aktiviti mengunjungi sanak-saudara.


  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Mei 2020 @ 5:19 PM