PENDUDUK, Mohammad Zulhussni Ali Jannah, 29, menampal notis had sempadan ziarah raya di perkarangan rumah neneknya, Marmah Giran, 82, bagi memastikan jarak sosial ahli keluarga terdekat yang datang berziarah raya di Kampung Seri Mawar, Melaka. FOTO IQMAL HAQIM ROSMAN
PENDUDUK, Mohammad Zulhussni Ali Jannah, 29, menampal notis had sempadan ziarah raya di perkarangan rumah neneknya, Marmah Giran, 82, bagi memastikan jarak sosial ahli keluarga terdekat yang datang berziarah raya di Kampung Seri Mawar, Melaka. FOTO IQMAL HAQIM ROSMAN
Muhammad Saufi Hassan


TRADISI berkumpul di kampung halaman tetap diteruskan pada tahun ini namun platform berbeza apabila masing-masing menggunakan ruang digital untuk menyambut kemeriahan Syawal bersama keluarga.

Lambakan aplikasi sidang video pada hari ini membolehkan keluarga tetap 'bersua muka' dan bertanya khabar, tetapi dilakukan secara maya.

Bagi Faizul Akmal Hassan, 41, dia tetap meneruskan acara berkumpul bersama keluarga namun menggunakan pendekatan berbeza iaitu melalui sidang video bersama semua anggota keluarga.

"Saya ada perancangan melakukan takbir raya dan berselawat kepada Nabi Muhammad SAW bersama keluarga dan kaedah ini kami sekeluarga buat sejak Ramadan lalu.

"Alhamdulillah, cara ini juga dapat melepaskan rindu bersama sanak-saudara walaupun tidak bersua muka. Melalui sidang video ini juga, dapatlah kami bergurau senda seolah-olah berkumpul di satu tempat yang sama," katanya.

Faizul Akmal berkata, ia adalah kaedah terbaik 'perjumpaan keluarga' buat masa ini memandangkan Covid-19 masih belum reda.

FAIZUL yang berhubung dengan anggota keluarga melalui sidang video.
FAIZUL yang berhubung dengan anggota keluarga melalui sidang video.

"Saya dan adik-beradik lain tidak tinggal di negeri sama. Ada yang tinggal di Terengganu, Selangor, Negeri Sembilan dan Kedah manakala ibu berada di kampung halaman iaitu di Perak.

"Namun alhamdulillah kami sekeluarga boleh dikatakan dalam lingkungan yang mesra dengan ruang digital termasuk ibu. Jadi tidak menjadi masalah untuk melakukan sidang video terutamanya pada pagi 1 Syawa.

"Setakat ini, saya merancang dengan adik-beradik lain melakukan takbir bersama-sama dan selepas itu mungkin berbual bertanya khabar serba sedikit. Tidak mengapalah Syawal kali ini kita berkorban sedikit, insya-Allah tahun depan kembali sedia kala," katanya.

Beliau yang juga kakitangan sektor swasta berkata, dia juga yakin ramai lagi keluarga yang menggunakan teknologi sedia ada untuk kekal berhubung terutama menerusi sidang video dengan semua anggota keluarga.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Mei 2020 @ 6:50 AM