AHMAD Zahari membawa penumpang ke Johor dari Terminal Bersepadu Selatan. FOTO ROHANIS SHUKRI.
AHMAD Zahari membawa penumpang ke Johor dari Terminal Bersepadu Selatan. FOTO ROHANIS SHUKRI.
Amir Abd Hamid


"PERNAH berlaku, dua penumpang pun saya jalan sebab terpaksa," itu kata pemandu bas ekspres, Ahmad Zahari Osman, 54, mengenai situasi terkini pemandu bas sepertinya ketika negara berdepan penularan Covid-19.

Dia yang sudah bekerja selama 30 tahun sebagai pemandu bas ekspres turut meluahkan kesedihannya apabila ada rakan seangkatan terpaksa diberhentikan kerja.

"Sedih kawan-kawan (pemandu bas ekspres) yang tak ada kerja. Saya memang kerja, cuma kini syarikat hanya boleh operasikan dua bas ekspres sahaja.

"Penumpang memang sangat berkurangan," katanya ketika ditemui dalam tinjauan Harian Metro di Terminal Bersepadu Selatan (TBS) di sini, semalam.

Menurutnya, walaupun sekarang bas ekspres dibawanya boleh diisi 20 penumpang selaras prosedur operasi standard (SOP) penjarakan sosial tempat duduk pengangkutan awam, namun jarang penumpang seramai itu.

Malah, katanya, menjelang musim perayaan Aidilfitri ketika ini pun biasanya penumpang yang naik bas hanya sekitar antara 10 hingga 15 orang.

Ditanya pendapatan tambahan berikutan difahamkan kini pemandu bas ekspres mendapat permintaan orang ramai yang ingin mengirim barang supaya sampai segera, katanya, ia tidak berlaku setiap hari.

"Adalah tambahan sikit (pendapatan) untuk pemandu bas. Tak tentu, adalah dalam seminggu dua kali.

SUASANA berbeza menjelang Aidilfitri di TBS pada tahun lalu berbanding tahun ini yang kelihatan lengang.
SUASANA berbeza menjelang Aidilfitri di TBS pada tahun lalu berbanding tahun ini yang kelihatan lengang.

"Caj pun tiada ketetapan harga, adakalanya RM30 sekotak. Biasa juga kurang daripada harga itu. Tidak berlaku pun waktu ini penumpang kurang, tetapi barang kiriman banyak," katanya yang berasal dari Johor Bahru.

Mengenai rutin kerjanya, beliau menjelaskan biasanya dia bergerak dari Johor jam 9 pagi dan sampai di TBS jam 3 petang.

Kemudian, katanya, kira-kira jam 4 petang dia akan balik semula ke Johor untuk mendapatkan upah satu trip gaji harian sebanyak RM150.

Pemandu bas persiaran, Abdul Jalil Mohamed Farook, 28, berasal Kulim, Kedah pula berkata, pendapatan pekerja sektor pengangkutan awam sangat terjejas.

"Saya kerja bawa bas lebih empat tahun lalu. Mulanya bawa bas ekspres kemudian bertukar kepada bas persiaran.

"Namun bas persiaran paling teruk terjejas apabila aktiviti pelancongan lumpuh sewaktu Covid-19 melanda negara," katanya.

Menurutnya, bas ekspres pula sudah jarang orang gunakan sebab pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu diikuti PKP Bersyarat (PKPB) untuk memutuskan penularan Covid-19.

"Saya bawa penumpang untuk perjalanan TBS ke Kuala Perlis dan sebaliknya. Normal sekurang-kurangnya boleh dapat satu trip iaitu perjalanan pergi dan balik dalam sehari.

"Sekarang pergi sana mungkin tidur sehari kemudian esoknya baru balik ke TBS. Jika dah tak ada orang sangat, mungkin dua tiga hari bermalam di sana," katanya.

SUASANA lengang di Terminal Bersepadu Selatan menjelang Adilfitri. FOTO ROHANIS SHUKRI.
SUASANA lengang di Terminal Bersepadu Selatan menjelang Adilfitri. FOTO ROHANIS SHUKRI.

Balik kampung tiada kerja

KUALA LUMPUR: Lengang. Itu ungkapan sesuai bagi menggambarkan situasi terkini di Terminal Bersepadu Selatan (TBS) di Kuala Lumpur menjelang Aidilfitri.

Jika sebelum ini dalam tempoh sama terminal yang mula beroperasi sejak 2011 selepas menggantikan Terminal Bas Puduraya itu pasti sesak dengan penumpang mahu pulang ke kampung halaman masing-masing.

Namun, situasi sangat berbeza ketika tinjauan Harian Metro di kawasan berkenaan semalam yang mendapati lobi di terminal itu kosong.

Tinjauan mendapati anggota keselamatan akan memastikan hanya penumpang yang mempunyai kebenaran rentas negeri boleh masuk di terminal itu.

Syarat yang sama turut tertakluk ketika penumpang mahu membeli tiket ke destinasi masing-masing di kaunter.

Penumpang, Norjamilah Hassan Nor, 30, berkata, jika bukan kerana perayaan pun dia bersama suami, Suhaimi Tahir, 28, yang bekerja sebagai pengawal keselamatan memang kena balik kampung sebab sudah tiada pekerjaan.

NORJAMILAH HASSAN NOR
NORJAMILAH HASSAN NOR

"Kami tinggal di Sentul, Kuala Lumpur. Kena pindah ke Teluk Intan, Perak sebab mengambil keputusan menetap di kampung kerana tiada kerja di ibu kota.

"Sudah dua bulan kami dah tak ada kerja, majikan pun sudah berikan surat berhenti kerja," katanya.

Haryanti Rahiman, 42, pula berkata dia sudah tidak sabar untuk bertemu dengan suami dan anaknya.

Katanya, dia terkandas tidak boleh pulang ke Felda Sungai Panching Selatan, Kuantan, Pahang sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), 18 Mac lalu.

"Waktu itu saya terkandas selepas menghantar keluarga di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pulang ke Medan, Indonesia pada 15 Mac lalu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Mei 2020 @ 6:55 AM