Isma Ismail dan Ekhwan Haque Fazlul Haque


KERAJAAN kini membenarkan jumlah penumpang berdasarkan kapasiti kenderaan yang dinaiki.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan itu dibuat menerusi Mesyuarat Khas Menteri yang diadakan baru-baru ini.

Menurutnya, sebelum ini berdasarkan Akta 342, hanya empat orang termasuk pemandu dibenarkan berada di dalam sebuah kenderaan.

"Dalam Mesyuarat Khas Menteri sudah putuskan jumlah penumpang mengikut kapasiti kenderaan dan tidak terhad hanya empat orang seperti sebelum ini contohnya kenderaan pelbagai guna (MPV) yang boleh muatkan enam orang.

"Akta dipinda tapi belum pasti sama ada sudah diwartakan atau sebaliknya," katanya dalam sidang media di Putrajaya, hari ini.

Dalam pada itu, Ismail Sabri meletakkan keyakinan budi bicara sepenuhnya kepada polis ketika menjalankan pemeriksaan sepanjang musim perayaan ini.

Katanya, jika sebuah kereta dinaiki lebih empat individu polis masih boleh menggunakan budi bicara sama ada untuk mengeluarkan kompaun atau sebaliknya.

"Jika sekatan jalan raya dapati sebuah kereta dinaiki lebih empat orang dan penumpang kelima adalah bayi, sudah pasti polis juga budi bicara.

"Berdasarkan akta memang sudah menjadi kesalahan namun polis masih ada budi bicara mengikut kesesuaian keadaan," katanya.

Ismail Sabri berkata, setakat ini kerajaan masih kekal dengan keputusan tidak membenarkan rakyat merentas negeri.

"Setakat ini masih kekal (tiada pergerakan rentas negeri). Kita akan putuskan ikut keadaan dalam Mesyuarat Khas Menteri nanti," katanya.

GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Mei 2020 @ 3:34 PM