WANITA di Kathmandu, India memakai inai menghiasi tangan mereka sempena meraikan Aidilfitri.
WANITA di Kathmandu, India memakai inai menghiasi tangan mereka sempena meraikan Aidilfitri.
Agensi

Istanbul: Setiap negara ada cara dan tradisi berbeza meraikan sambutan Aidilfitri.

Perbezaan tradisi itu memberi keunikan bagi masyarakat di sesebuah negara berbanding yang lain.

Di Turki misalnya, Pesta Gula atau Seker Beyrami adalah festival yang diadakan selama tiga hari selepas berakhir Ramadan.

Istanbul Insider melaporkan manisan disajikan kepada pengunjung pesta berkenaan.

Selain membersihkan rumah, orang ramai membeli manisan seperti gula-gula, coklat dan menghasilkan kuih tradisional seperti baklava bagi memeriahkan sambutan.

Bukan setakat itu, masyarakat juga membeli pakaian dikenali Bayramlik, manakala golongan muda menziarahi orang tua.

Di Kabul, Afghanistan, golongan wanita berkumpul bersama serta melukis inai bermotifkan bunga atau corak lain di tangan mereka.

Aktiviti itu menjadi tradisi mereka saban tahun dan lazimnya, warga Afghanistan membuat persiapan awal iaitu 15 hari sebelum Aidilfitri.

Di Mesir, kunjungan ke taman awam dan aktiviti menziarahi keluarga menjadi kemestian setiap kali Aidilfitri.

Selain itu, seperti umat Islam negara lain, penduduknya menziarahi tanah perkuburan untuk menabur bunga mawar di pusara ahli keluarga.

Tunisia terkenal dengan biskut tradisi iaitu Kaak yang menjadi makanan wajib ada ketika sambutan Aidilfitri.

Di Beijing, Masjid Niujie, masjid terbesar di kota itu yang dibangunkan pada era Dinasti Liao pula menjadi tumpuan Muslim di China setiap kali Aidilfitri.

Selepas selesai solat sunat Aidilfitri, orang ramai menjamu selera dengan rakan dan keluarga mereka di kedai sekitar perkarangan masjid.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Mei 2020 @ 6:30 AM