Shamran Sarahan dan Amir Abd Hamid dan Muhaamad Hafis Nawawi


JANGKITAN baharu Covid-19 dalam negara kembali ke angka tiga digit selama dua hari berturut-turut dengan 187 kes dilaporkan hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes keseluruhan penularan wabak itu sebanyak 7,604 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pertambahan 187 kes baharu itu membabitkan 10 kes import yang mendapat jangkitan di luar negara dengan tujuh daripadanya warga Malaysia dan tiga lagi pemastautin tetap serta pasangan kepada warga Malaysia.

Beliau berkata, baki 177 kes berkaitan penularan tempatan dengan 173 daripadanya membabitkan jangkitan bukan warga Malaysia, hanya empat kes sahaja dalam kalangan warga Malaysia.

"Penularan tempatan bukan warga Malaysia membabitkan 155 kes yang dikesan di Depot Tahanan Imigresen (DTI) Bukit Jalil, dan 13 kes daripada Kluster Pengawal Keselamatan Cheras.

"Kes penularan tempatan dalam kalangan warga Malaysia adalah empat kes sahaja," katanya pada sidang media harian berkaitan Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

Beliau turut memaklumkan, terdapat 62 kes yang pulih dan dibenarkan discaj hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes pulih sepenuhnya daripada penularan wabak itu dalam negara sebanyak 6,041 kes, 79.45 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

"Jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 1,448 kes. Mereka telah diasingkan dan diberi rawatan.

"Sehingga kini, seramai lapan pesakit Covid-19 dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), lima daripadanya memerlukan bantuan pernafasan," katanya.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata, tiada kematian berkaitan jangkitan Covid-19 dilaporkan kepada Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC), setakat 12 tengah hari, hari ini.

KETUA Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah. FOTO LUQMAN HAKIM ZUBIR
KETUA Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah. FOTO LUQMAN HAKIM ZUBIR

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Mei 2020 @ 5:28 PM