X
Sikdar bersama isteri dan anaknya.
Sikdar bersama isteri dan anaknya.
Agensi

Singapura: Hajat pesakit barah perut tahap akhir untuk menyambut Syawal bersama keluarganya termakbul selepas penerbangan khas diatur untuk membawanya pulang ke Bangladesh, baru-baru ini.

Sikdar Rana, 34, yang bekerja di limbungan kapal di republik itu dirawat di Hospital Besar Singapura (SGH) sejak bulan lalu.

Memetik laporan Berita Harian Singapura, lelaki itu teringin pulang ke pangkuan keluarganya dan bertemu isteri, Moshumi Akhter, 27, serta anak lelakinya, Mahim berusia enam tahun.

Ia permintaan terakhir yang meruntun jiwa hingga mendorong tabung kutipan dilancarkan bagi membiayai kos penerbangan khas Sikdar ke Bangladesh.

Dia sepatutnya pulang pada 19 Mei lalu namun akibat lanjutan sekatan pergerakan di negara kelahirannya sejak 14 Mei semua penerbangan ke Dhaka dibatalkan.

Pakar perunding kanan bahagian rawatan sokongan dan paliatif di Pusat Barah Kebangsaan Singapura, Dr Cynthia Goh yang merawat Sikdar bimbang lelaki itu kesuntukan masa dan tidak berpeluang bertemu keluarganya jika menunggu hingga tempoh sekatan berakhir 30 Mei ini.

Untuk itu, beliau meminta bantuan bagi mengumpul dana membiayai kos penerbangan khas perubatan ke Bangladesh yang berjumlah $55,000 (RM168,854) dan pada Khamis lalu, Sikdar dirujuk ke Pusat Pekerja Asing (MWC), kumpulan kebajikan pekerja asing yang disokong Kementerian Tenaga Manusia (MOM), Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan dan majikan.

Dengan bantuan daripada syarikat evakuasi perubatan Hope Medflight Asia, yang menawarkan harga lebih rendah, mereka menunaikan hajat Sikdar untuk menyambut Syawal bersama keluarganya.

Sementara itu, bercakap kepada The Straits Times, Sikdar berkata, dia bersyukur dengan usaha dilakukan semua pihak bagi memenuhi impiannya.

"Ini mungkin Aidilfitri terakhir. Selepas sekian lama, saya dapat merasai masakan ibu, saya rasa seperti di syurga.

"Saya tidak tahu berapa ramai bertungkus-lumus bantu saya, dan dengan rendah hati, saya ucapkan terima kasih.

"Kerana mereka, saya dapat bersama anak dan boleh pergi dengan tenang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Mei 2020 @ 7:01 AM