KEADAAN kereta Proton Wira yang terbabit kemalangan dengan lori menyebabkan empat penumpang maut di jalan utama Felda Chini Timur. FOTO Ihsan JBPM
KEADAAN kereta Proton Wira yang terbabit kemalangan dengan lori menyebabkan empat penumpang maut di jalan utama Felda Chini Timur. FOTO Ihsan JBPM
Mohd Rafi Mamat


TIGA warga Indonesia dan seorang lelaki tempatan maut dalam kemalangan membabitkan sebuah kereta dengan lori di Kilometer 6 Jalan Chini-Kuantan di Pekan, tengah hari ini.

Lelaki tempatan yang maut itu dikenal pasti sebagai Mohamad Junhaizul Lizam, 26, berasal dari Chini.

Mangsa maut dari Indonesia itu pula hanya dikenali sebagai Rohman, 20; Mudehri, 38, dan Subakir, 43.

Pemandu kereta berkenaan yang dikenali Abd Mannan, 25, yang juga warga Indonesia cedera dan kini menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan.

Kejadian pada 12.30 tengah hari itu menyebabkan kereta jenis Proton Wira dinaiki mangsa terperosok ke bawah lori itu.

Ketua Polis Daerah Pekan Superintendan Mohd Razli Mohd Yusof berkata, pemandu lori pula yang berasal dari Felda Chini 4 dan tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kejadian itu.

Menurutnya, kereta berkenaan dikatakan dari arah Kuantan menghala ke Felda Chini, manakala lori berkenaan pula dari arah Chini.

Katanya, kereta berkenaan dikatakan hilang kawalan sebelum bertembung dengan lori yang datang dari arah hadapan.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang Anuar Hassan berkata, enam pegawai dan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Chini bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pada 12.45 tengah hari.

Menurutnya, setibanya di tempat kejadian didapati enam lelaki terbabit dalam kemalangan itu.

"Pemandu kereta dilaporkan cedera dan keluar sendiri dari kenderaan itu ketika anggota bomba tiba di lokasi kemalangan, manakala empat mangsa maut di tempat kejadian.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Mei 2020 @ 8:37 PM