GAMBAR raya sekeluarga dengan memakai pelbagai topeng muka daripada filem kegemaran Hafiz.
GAMBAR raya sekeluarga dengan memakai pelbagai topeng muka daripada filem kegemaran Hafiz.
Oleh Nurul Husna Mahmud


SETIAP 1 Syawal sejak 2017, Mohd Hafiz Md Suhaimi, 40, atau lebih dikenali sebagai Combat Mohd Hafiz akan memastikan setiap ahli keluarganya melaram dengan memakai topi keledar pelbagai karakter filem sains fiksyen Star Wars.

Sambil mengenakan baju Melayu serta kurung, Hafiz bersama pasangannya, Nurul Ashikin Daud, 39, dan empat anak mereka akan merakam gambar kenangan raya dengan memakai topi keledar pelbagai watak berkenaan.

Topi keledar dikenakan membabitkan antaranya watak Darth Vader, Poe Dameron, Kylo Ren selain Storm Trooper.

Hafiz yang bertugas di sebuah pelantar minyak berkata, kesempatan beraya di darat mencetus idea untuknya melakukan perkara berkenaan.

"Setiap kali dapat pelepasan untuk beraya di darat, bermula 2017, saya akan keluarkan sebahagian koleksi topi keledar watak Star Wars yang disimpan untuk sesi gambar raya dengan keluarga.

"Pada kali pertama, isteri dan anak-anak agak kekok serta berasa malu-malu untuk memakainya namun selepas itu, mereka pula teruja memilih karakter dimahukan," katanya.

Menurut Mohd Hafiz, sebelum bergambar, dia akan berbincang dengan keluarga topi keledar mana yang mahu dipakai.

Katanya, lokasi bergambar pula berdasarkan cadangan Nurul Ashikin iaitu di Melaka.

"Topi keledar dikumpul membabitkan koleksi premium keluaran Hasbro namun ia masih mampu milik dengan anggaran harga RM400 hingga RM600 seunit.

"Setakat ini, saya memiliki 14 topi keledar pelbagai watak dalam pelbagai filem. Ia saya kumpul sejak 2008," katanya.

Menurut Mohd Hafiz, dia bukan sekadar mengumpul topi keledar berkenaan untuk pameran, malah memberi peluang kepada anak-anaknya untuk bermain dengan barangan berkenaan.

Katanya, aktiviti dilakukan secara suka-suka itu sentiasa menerima reaksi positif baik daripada rakan dan peminat Star Wars sebaik gambar keluarganya dimuat naik di laman sosial Facebook.

"Saya buat hanya sekadar untuk suka-suka selain kenangan raya bersama keluarga.

"Antara tempat menarik dijadikan lokasi kami bergambar di Melaka termasuk Encore dan Masjid Selat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Mei 2020 @ 8:00 AM