"TOLONG ayah, sakit sangat ayah kakak dah tak tahan ayah, tolonglah ayah," itu rintihan Nur Nazihah Mohd Sabri yang membuatkan bapanya sering menangis apabila teringatkan rayuannya itu.

Nur Nazihah, 8, murid Sekolah Kebangsaan (SK) Ketengah Jaya 2, Dungun yang disengat tebuan kelmarin, ketika bermain di kawasan semak berhampiran rumahnya di Felda Kerteh 4, kira-kira 3 petang.

Anak ketiga daripada lima beradik itu gagal diselamatkan dan disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu, pada 1.35 pagi ini.

Bagaimanapun, adiknya Muhammad Azib, 6, yang turut disengat tebuan dilaporkan stabil dan kini menerima rawatan di hospital yang sama.

Bapanya, Mohd Sabri Mohd Nor, 41, berkata, ketika kejadian dia sedang membaiki dapur rumah ibunya di Bandar Paka manakala isterinya, Rohayu Mat Lazim, 39, tinggal di rumah bersama lima anaknya.

"Saya dimaklumkan kedua-dua anak termasuk kakak mereka berusia 11 tahun serta dua rakan bermain di situ dalam jarak 50 meter dari rumah saya.

"Muhammad Azib yang dalam kesakitan berlari pulang memberitahu ibunya Nazihah diserang tebuan, "katanya ketika ditemui di rumahnya di Felda Kerteh 4, hari ini.

Katanya, isterinya mendapatkan anak sebelum menghubungi dan memberitahu terdapat banyak sengatan di badan Nazihah.

"Saya ingat sengatan lebah, namun apabila isteri memberitahu ada beberapa kepala berwarna hitam dan besar melekat di baju Nazihah, saya sahkan itu tebuan dan meminta isteri segera ke Klinik Kesihatan Ketengah Jaya.

NUR Nazihah maut disengat tebuan. FOTO Rosli Ilham.
NUR Nazihah maut disengat tebuan. FOTO Rosli Ilham.

"Saya terus ke klinik kesihatan, dan mendapati Nazihah masih sedar dan tidak putus-putus mengadu sakit," katanya.

Menurutnya, dia terkejut selepas melihat banyak kesan sengatan di dada, perut dan tangan kanan anaknya itu yang dianggarkan melebihi 50 sengatan.

"Saya menangis dan tak sanggup melihat kesakitan ditanggung Nazihah, dan memintanya kuat semangat.

"Nazihah kemudiannya dikejarkan ke Hospital Dungun sebelum dihantar ke HSNZ dan sepanjang Jumaat dan Sabtu Nazihah masih sedar.

"Bagaimanapun, sejak malam tadi, dia semakin lesu dan tidak sedarkan diri sehinggalah dia meninggal dunia di depan saya," katanya.

Mohd Sabri berkata, dia sering menasihati anak-anaknya supaya tidak bermain di kawasan semak terbabit kerana dia pernah terjumpa satu sarang tebuan.

Jenazah anaknya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Kerteh 4 dan 5 pada 11 pagi.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba Dan Penyelamat Paka, Penolong Penguasa Bomba, Mohd Rezuan Adnan ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.

Menurutnya, pihaknya sudah menjalankan siasatan di tempat kejadian dan menjumpai sarang terbabit sebesar sebiji bola.

"Ia bukan tebuan tanah dan kami akan menjalankan kerja memusnahkan sarang terbabit dengan segera," katanya.

Berita berkaitan:

  • 'Kanak-kanak maut disengat tebuan
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Mei 2020 @ 1:47 PM